Siakap Keli

NASA Jangka Asteroid Kecil Akan Lintas Bumi Pada Jarak Sangat Hampir Hari Ini

NASA Jangka Asteroid Kecil Akan Lintas Bumi Pada Jarak Sangat Hampir Hari Ini

NASA menerusi Sistem Scoutnya memaklumkan bahawa sebuah asteroid kecil bersaiz trak kotak dijangka akan melintasi pada jarak yang sangat hampir dengan Bumi hari ini.

Dikenali sebagai 2023 BU, asteroid berkenaan akan melintasi kawasan hujung Selatan Amerika kira-kira pukul 4.27 petang (waktu tempatan/PST) pada jarak kira-kira 3,600 kilometer dari permukaan planet ini, iaitu di dalam orbit satelit geosynchronous.

Menurut NASA, tiada sebarang risiko asteroid berkenaan akan terhempas ke Bumi. Malah, sekiranya perkara berkenaan terjadi, asteroid kecil dengan anggaran saiz kira-kira 3.5 hingga 8.5 meter itu akan bertukar menjadi bebola api dan berkecai di dalam atmosfera. Hanya serpihan-serpihan besar asteroid berkenaan berpotensi jatuh sebagai meteorit kecil.

Asteroid 2023 BU itu ditemui oleh seorang ahli astronomi amatur, Gennadiy Borisov, menerusi pusat Pemantauan MARGO miliknya di Crimea pada 21 Januari lepas. Borisov kemudian memaklumkan penemuan tersebut kepada Pusat Planet Kecil (MPC) dan data yang sama telah dimuat naik di Near-Earth Object Confirmation Page. Selepas data yang dikumpul mencukupi, MPC membuat pengemuman berkenaan penemuan asteroid tersebut.

Dalam tempoh tiga hari, 2023 BU kemudian mula mencuri tumpuan ahli-ahli astronomi seluruh dunia dan data yang dikumpul melalui pusat-pusat pemantauan membantu pakar menentukan orbit asteroid berkenaan.

Borisov juga merupakan individu yang bertanggungjawab menemui komet interstellar, 2I/Borisov.

Berdasarkan laporan pada laman web JPL NASA, 2023 BU merupakan objek dekat-Bumi (near-Earth object) yang membuat lintasan paling hampir dengan Bumi yang diketahui setakat ini.

BACA: Pengakuan “Influencer” TiKTok Tak Basuh & Pakai Baju Tidur Yang Sama Berhari-hari Cetuskan Perdebatan Hangat

Sumber: Jet Propulsion Laburatory NASA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.