Siakap Keli

MAFS Sampaikan Dana Khas Pesawah, RM10 Juta Telah Disalurkan Setakat Pertengahan Januari

ALOR SETAR, 27 JANUARI 2023 – Sebanyak RM10 juta bantuan khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) 2022 telah disalurkan secara berperingkat kepada pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), YB Tuan Haji Mohamad Sabu.

Katanya, seramai 20,181 orang pesawah dilaporkan telah menerima bantuan tersebut berjumlah RM250 setiap orang sehingga pertengahan Januari ini.

Baki sumbangan sebanyak RM50 juta dijangka akan diterima daripada BERNAS menjelang akhir bulan ini. Pesawah di negeri-negeri lain akan menerima bantuan khas ini selewat-lewatnya awal bulan Mac hadapan. Seramai 219,402 baki pesawah akan turut menerima bantuan khas BERNAS ini secara berperingkat, jelasnya dalam satu kenyataan semalam dalam lawatan kerja rasmi selama 3 hari ke Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang bermula 25 Januari sehingga hari ini.

Dalam lawatan tersebut, YB Menteri sempat menyantuni wakil-wakil penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA dan Persatuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan pertanian iaitu Persekutuan Penanam-penanam Padi Kedah dan Kilang Beras Melayu dalam satu sesi libat urus di Ibu Pejabat MADA.

Dalam majlis sesi libat urus berasingan bersama Peladang PPK MADA B-IV,Pengkalan Kundor beliau telah menyampaikan 5 jenis bantuan seperti berikut :

1. Dana Bantuan Khas Pesawah Tahun 2023
2. Penyampaian Modal Pusingan Operasi Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB)
3. Penyerahan Jentera Projek Guna Semula Jerami Padi sebanyak RM332,500 kepada tiga penerima terdiri daripada dua buah PPK iaitu PPK MADA A-IV, Batas Paip serta PPK MADA B-I, Kayang dan Usahawan Jerami MADA dari PPK B-IV, Pengkalan Kundor.
4. Penyerahan Geran Agropreneur Muda (GAM) sebanyak RM80,000 kepada empat orang penerima
5. Penyerahan Zakat Agrobank Kepada PPK MADA bagi membantu dan meringankan kehidupan serta kebajikan golongan asnaf yang juga merupakan ahli-ahli di setiap PPK

Untuk rekod, MADA telah melaksanakan Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) yang merupakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti tanaman padi melalui penyatuan pengurusan tanaman padi berskala besar. Sebanyak RM 7.61 juta disediakan sebagai modal pusingan operasi projek PPSB kepada empat PPK iaitu PPK MADA E-I, Simpang Empat, PPK MADA C-II, Kerpan, PPK MADA C-III, Tajar dan PPK B-IV, Pengkalan Kundor.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui MADA akan terus komited dalam memastikan nasib dan kebajikan para pesawah terjaga dalam apa jua keadaan.

Lawatan tersebut turut disertai Ketua Setiausaha MAFS , Datuk Lokman Hakim Ali, Pegawai pegawai Kanan Kementerian serta Ketua-Ketua Pengarah Jabatan dan Agensi dibawah MAFS.

Amira

Love yourself.