Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dakwaan Kerugian Dana Awam RM472 Juta Susulan Kejatuhan Saham Zetrix, Rafizi Desak Penjelasan Kerajaan

SAHAM
Kredit: Bernama

Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli mendesak kerajaan menjelaskan pendedahan dana awam terhadap kejatuhan harga saham Zetrix AI Berhad (Zetrix), yang didakwa berpotensi mengakibatkan kerugian sehingga RM472 juta.

Beliau berkata, isu itu perlu diberi perhatian kerana Zetrix merupakan syarikat berkepentingan awam yang turut dikaitkan dengan pembangunan teknologi bagi Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, harga penutup saham Zetrix pada 1 April 2026 adalah 75.5 sen sesaham sebelum merosot kepada lima sen pada 19 Oktober lalu, iaitu penurunan sebanyak 93.4 peratus dalam tempoh kira-kira enam bulan.

Menurut beliau, tiga dana awam iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mempunyai pegangan saham yang besar dalam syarikat berkenaan berdasarkan maklumat awam yang tersedia.

Beliau berkata, KWSP memegang 67.674 juta saham setakat 1 April 2026, manakala KWAP mempunyai 390.09 juta saham berdasarkan maklumat setakat 2 Oktober 2025.

UJSB pula dilaporkan memegang 211.507 juta saham setakat 1 April 2026.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pegangan terkini ketiga-tiga dana itu tidak dapat dipastikan sehingga laporan tahunan Zetrix bagi tahun kewangan 2026 dimuktamadkan.

Rafizi berkata, sekiranya ketiga-tiga dana berkenaan masih memegang saham ketika kejatuhan mendadak bermula pada 28 Ogos lalu, mereka berkemungkinan berdepan potensi kerugian sehingga RM472 juta, berdasarkan penurunan harga sebanyak 70.5 sen sesaham.

Beliau turut membangkitkan isu kewangan lain yang didakwa melibatkan Zetrix, termasuk kegagalan membayar kutipan hasil kerajaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjumlah RM314 juta serta pelanggaran syarat sukuk bernilai RM2 bilion yang menurutnya masih belum diselesaikan.

Dalam kenyataan sama, beliau mempersoalkan kesan masalah kewangan Zetrix terhadap pelaksanaan projek NIISe yang melibatkan HeiTech Padu Berhad.

Katanya, HeiTech Padu pada 2024 dianugerahkan kontrak bernilai RM1.05 bilion untuk membangunkan sistem imigresen bersepadu negara itu, manakala Zetrix diumumkan sebagai rakan teknologi bagi pembangunan sistem berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, Zetrix melupuskan keseluruhan pegangan sebanyak 16.9 peratus dalam HeiTech Padu pada 2 September lalu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan syarikat itu sebagai penyedia teknologi kepada projek berkenaan.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberikan penjelasan mengenai pendedahan dana awam terhadap saham Zetrix.

Antara perkara yang dibangkitkannya ialah jumlah saham Zetrix yang dipegang oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada 1 April 2026, termasuk jumlah pegangan terkini setakat 20 Oktober serta kerugian atas kertas dan kerugian yang telah direalisasikan susulan penjualan saham.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai syarikat yang kini bertanggungjawab membekalkan teknologi bagi projek NIISe selepas Zetrix melupuskan pegangan dalam HeiTech Padu, serta kesannya terhadap pelaksanaan projek yang berkaitan dengan keselamatan negara.

Rafizi berkata, beliau akan terus memberi perhatian kepada isu itu sehingga penjelasan yang memuaskan diberikan kepada rakyat dan pihak yang terlibat disiasat.

Beliau turut membandingkan pendiriannya itu dengan usaha membangkitkan isu skandal kewangan dana awam terdahulu, termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tabung Haji, FELDA, MARA dan National Feedlot Corporation (NFC).

Sumber:BERSAMA