Siakap Keli

MyIPO Sedia Dana RM2 Juta Untuk Usahawan Daftar Harta Intelek Menerusi Inisiatif Daya Kreatif

PUTRAJAYA, 26 Januari 2023 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) YB Datuk Seri Salahuddin Ayub, hari ini melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerusi Inisiatif DAYA Kreatif.

DAYA merupakan salah satu jenama inisiatif KPDN yang menekankan kepada strategi mendaya upayakan rakyat dalam menangani isu Kos Sara Hidup. DAYA Kreatif memberi fokus kepada pemain industri kreatif di Malaysia menerusi fasilitasi pemerkasaan dan membangunkan kesedaran berkenaan hakcipta.

Dana ini yang merupakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dijangka memberi manfat kepada hampir 2,000 usahawan terutamanya daripada sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Ia merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten.

Menerusi dana ini, Kerajaan akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, rekabentuk perindustrian dan petunjuk geografi. Pemberian dana ini bertujuan meringankan beban usahawan-usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara. Selain itu dana ini juga turut membantu meningkatkan pemfailan harta intelek tempatan.

Sebelum ini, MyIPO turut menawarkan dana yang sama pada 2016 sehingga 2020 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM2.5juta. Sepanjang tempoh tersebut, seramai 1,465 usahawan telah mendapat manfaat melalui pemberian dana ini.
Permohonan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 boleh dibuat secara dalam talian atau hadir ke ibu pejabat dan cawangan MyIPO berhampiran.

Turut hadir dalam majlis ini, Ketua Setiausaha KPDN, YBhg Datuk Azman Mohd Yusof serta Ketua Pengarah MyIPO, YBrs Encik Abdul Haris Lakar.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri) KPDN, YBhg Datuk Roziah Abudin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pendayaupayaan Pengguna dan Pengurusan) KPDN, YBhg Datin Roszanina Wahab.

Amira

Love yourself.