Siakap Keli
Kalau KJ Berminat Sertai Parti Bersatu
Gambar: Bernama

Kalau KJ Berminat Sertai Parti Bersatu, Boleh Buat Permohonan – Muhyiddin

Kalau KJ Berminat Sertai Parti Bersatu, Boleh Buat Permohonan – Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa Bersatu sedia untuk mempertimbangkan dan membuka ruang kepada pemimpin UMNO yang dipecat untuk menyertai mereka, lapor Astro Awani.

Menurutnya, perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu lebih-lebih lagi apabila melibatkan permohonan penyertaan daripada pemimpin UMNO seperti bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Beliau turut menyifatkan bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai seorang pemimpin yang berkaliber.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menambah bahawa Khairy boleh mengemukakan permohonan beliau sekiranya berhasrat untuk menyertai parti mereka.

“Khairy ini orang bijak pandai dan banyak orang suka. Tetapi tidak mengapa semua (yang dipecat) ini saya kenal (jadi) terserah kepada mereka kalau mereka rasa sesuai (sertai Bersatu).
“Bukan saya nak memuji, tetapi ketika dia (Khairy) bersama saya dan kerajaan dahulu saya lantik dia jadi menteri walaupun parti tidak menamakan dia dulu. Jadi, kita kenal dia bijak orangnya dan politik pun boleh tahan matang.
“Kalau Khairy berhasrat untuk bersama menyertai (Bersatu), dia boleh buat permohonan, berbincang dan kita akan pertimbangkan secara baik,” katanya.
Memetik Astro Awani, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sedemikian ketika berada di Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh pada Sabtu.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah memutuskan untuk memecat Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar daripada parti itu semalam.
Selain dari itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden Datu Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Noorliyana Ishak