Siakap Keli
tips buka kedai makan
Gambar Hiasan | Kredit: Sinar Harian

Lelaki Ini Kongsi Tujuh Benda Penting Kena Buat Kalau Nak Buka Kedai Makan

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Jika anda mahu buka kedai makan sendiri, anda harus tahu tentang tujuh benda penting ‘wajib’ buat seperti tips yang dikongsikan lelaki ini.

Mesti ada yang memasang impian inginkan perniagaan sendiri, tidak kisahlah apa, janji berniaga. Dalam dunia perniagaan ini, semua sudah sedia maklum, risikonya besar.

Disebabkan itu, seseorang yang ingin memulakan perniagaan perlulah pastikan bahawa mereka punyai hati yang cekal, semangat yang jitu dan jangan putus asa dalam memulakan sesuatu yang baharu.

Dengan demikian sesuatu perniagaan yang mereka ceburi akan bergerak sesuai dengan apa yang dimahukan. Jadi dalam perkongsian kali ini, kita akan memfokuskan kepada perniagaan kedai makan. Siapa saja yang tidak mahu buka kedai makan sendiri, bukan?

Justeru, kepada sesiapa yang ada niat nak buka kedai makan atau yang sudah ada kedai makan, ikuti perkongsian ini untuk menambah lagi pengetahuan anda tentang pengurusan wang dalam sektor perniagaan kedai makan.

Melalui perkongsian penasihat kewangan Saifullah Suratmin di laman Facebook, terdapat tujuh perkara yang anda perlu lakukan sebagai persiapan sebelum dan semasa perniagaan tersebut dijalankan.

“Buat Senarai Inventori Atau…” Lelaki Ini Kongsi Tujuh Benda Penting Kena Buat Kalau Nak Buka Kedai Makan

pengurusan kewangan kedai makan
Gambar Hiasan | Kredit: Sinar Harian

Yang pertama, anda perlu buka tiga akaun bank semasa selepas siap sahaja lesen perniagaan. Anda juga perlu pastikan bank mana yang paling dekat dengan kedai anda, jadi anda perlu pilih salah satu daripadanya.

Hal ini kerana bank yang paling dekat dengan kedai makan akan menjadi bank yang uruskan duit jualan. Perlu pastikan bahawa duit jualan cuma masuk ke dalam bank ini sahaja.

Jadi, mengapa pilih bank yang paling dekat dengan kedai? Hal ini supaya anda mudah untuk arahkan pekerja masukkan duit hasil jualan harian ke dalam akaun tersebut.

Beralih kepada akaun kedua, akaun ini dibuka untuk menguruskan duit operasi. Jadi, fokus pembukaan bank kedua ini adalah bank yang mudah untuk uruskan duit keluar masuk, misalnya untuk urusan atas talian seperti online banking atau payroll management. Tambah Saifullah jika boleh kad ini perlu diaktifkan supaya anda boleh berbelanja terus melaluinya.

Seterusnya, bank ketiga berfungsi untuk urusan duit simpanan. Berbeza pula dengan bank kedua, anda perlu pilih bank yang jauh dari kedai, paling susah untuk keluarkan duit atau bank yang tidak mempunyai online banking. Hal ini bertujuan untuk mendisiplinkan anda daripada aspek pengurusan duit.

Beralih kepada perkara kedua, anda perlu simpan dan semak rekod jualan. Dalam proses ini, anda perlu semak rekod jualan dan buat lima menu yang paling laku dan lima menu yang tidak laku setiap hari.

Justeru, Saifullah perkenalkan anda dengan dua kaedah iaitu yang pertama anda boleh gunakan kaedah manual, iaitu tulis tangan. Jadi, sebaik sahaja pelanggan membuat pembayaran anda perlu tuliskan menu yang telah terjual.

Kaedah yang kedua adalah penggunaan sistem di kedai makan. Sebenarnya, penggunaan sistem lagi memudahkan kerja, contohnya selesai sahaja pembayaran, anda boleh tahu menu yang terjual kerana sudah masuk sistem.

Yang ketiga, anda perlu buat SOP kerja. Dalam SOP ini, ia merangkumi semua aspek kerja termasuklah siapa yang pegang kunci, pukul berapa kedai buka dan sebagainya. Hal ini secara tidak langsung akan memudahkan pekerja bekerja mengikut panduan yang diketengahkan.

pengurusan kewangan kedai makan
Gambar Hiasan | Kredit: Pixabay

Selain itu, anda perlu buat senarai inventori atau stok barang, tidak kisahlah semasa membeli, gunakan barang atau barang yang rosak. Semua barang tersebut perlu diletakkan dalam satu senarai khas stok barang untuk kedai tersebut.

Perlu diingatkan bahawa senarai tersebut perlu diletakkan dalam satu bentuk unit yang boleh diukur atau disukat. Jangan letak dalam bentuk, “1 bakul limau nipis” dan sebagainya.

Yang kelima, pengiraan kos menu supaya anda tahu sukatan yang diperlukan untuk setiap menu. Malah, anda perlu semak harga bahan supaya anda tahu harga yang bakal diletakkan kepada pelanggan adalah pada kadar yang betul.

Seterusnya, anda perlu semak penyata untung rugi setiap hujung bulan. Hal ini akan mendedahkan anda dengan prestasi perniagaan anda dari semasa ke semasa. Tambahnya, jika untung, kenapa boleh untung? Begitu juga sekiranya rugi, mengapa boleh rugi?

Yang terakhir adalah anda perlu buat SOP berkaitan masakan dan minuman. Misalnya berapa gram ayam yang diperlukan untuk masak nasi goreng ayam? Berapa gram nasi yang perlu digunakan? Semua perkara tersebut perlu ada dalam SOP menu yang dihidangkan.

Jadi, itulah perkongsian daripada Saifullah Suratmin. Kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan kedai makan semoga niat anda dipermudahkan. Semoga perkongsian ini bermanfaat!

Sumber: Saifullah Suratmin | Facebook

Florence Nuar