Siakap Keli

Keterjaminan Sumber Makanan: Rusia & Malaysia Komited Tingkatkan Kerjasama Dua Hala

PUTRAJAYA, 31 JANUARI 2023 – Rusia dan Malaysia berazam mahu meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian. Topik ini menjadi perbincangan utama antara YB Tuan Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dengan TYT Naiyl M. Latypov, Duta Besar Rusia di Malaysia dalam pertemuan mereka di Putrajaya pada Isnin, 30 Januari 2023.

Untuk rekod, Rusia merupakan rakan dagang Malaysia yang aktif dalam memperkukuhkan hubungan perdagangan pertanian. Bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022, nilai import produk pertanian dan makanan daripada Rusia adalah sebanyak RM0.77 bilion. Dalam pertemuan ini, Rusia mempelawa Malaysia untuk meningkatkan eksport produk pertanian ke Rusia termasuk buah-buahan tropika dan produk makanan laut. Rusia juga bersedia untuk mengeksport produk halal dan soya ke Malaysia.

Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuhkan perdagangan dua hala dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan. Malaysia dan Rusia dijangka memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertanian dan perikanan pada tahun ini. MoU tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan dalam bidang pertanian antara kedua-dua buah negara termasuk kerjasama dalam teknologi biji benih, pertanian moden dan pintar, perikanan serta akuakultur.

Rusia juga berbesar hati menjemput YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ke Persidangan Ekonomi Antarabangsa melibatkan isu keterjaminan makanan yang akan dianjurkan oleh Rusia pada tahun ini. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha MAFS dan pegawai-pegawai kanan MAFS serta wakil-wakil dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

Amira

Love yourself.