Siakap Keli
Gambar: Twitter @indrawidjaya

Majlis Perkahwinan Bertambah ‘Meriah’, Pengantin “Request” Nak Disambut Dengan Bunyi Lato-Lato

Majlis Perkahwinan Bertambah ‘Meriah’, Pengantin “Request” Nak Disambut Dengan Bunyi Lato-Lato

Permainan yang dipanggil lato-lato atau clackers ball kini telah menjadi trend dalam kalangan masyarakat sehingga ia tular di media sosial.

Lato-lato ini bukan sahaja dimainkan oleh golongan kanak-kanak tetapi ia juga turut dimainkan oleh segelintir golongan dewasa.

Dengan bunyi yang dihasilkan permainan lato-lato ini, ada yang berpendapat bahawa bunyinya itu agak menjengkelkan.

Pun begitu lain pula ceritanya untuk pasangan pengantin dari Mambi, Kabupaten Mamasa, Sulawesi Barat ini.

Kedua-dua pasangan ini mempelai ini menjadi tular di media sosial Indonesia selepas mereka memilih agar perarakan mereka di majlis perkahwinan disambut dengan bunyi lato-lato.

Video pasangan pengantin yang disambut dengan permainan lato-lato tersebut dimuat naik oleh @indrawidjaya di laman Twitter.

@indrawidjaya menjelaskan bahawa dia berkongsikan video tersebut di media sosial kerana ia sangat unik dan jarang berlaku.

“Aku paling jarang untuk berkongsi video dari group WhatsApp keluarga. Namun, yang ini, entah kamu sudah melihatnya atau belum, aku perlu berkongsikan di akaun Twitter,” tulis kapsyen @indrawidjaya di Twitter.

Menerusi video berdurasi 54 saat itu, kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang berbaris dan bermain lato-lato secara serentak untuk menyambut pasangan pengantin yang sedang berarak.

Menurut Wolipop, pengantin perempuan dalam video berkenaan dikenali sebagai Nur Fadhilah. Wanita yang biasa dipanggil Dilah itu mendedahkan kisah di sebalik video perkahwinannya yang tular.

Gambar: Instagram @rahmathidayat.calm

“Ceritanya pada hari pernikahan 4 Januari 2023, ketika pengantin perempuan dan rombongan keluarga dari pengantin perempuan sedang ‘mapparola’ ke kediaman keluarga pengantin lelaki di Desa Mambi, Kecamatan Mambi, Kabupaten Mamasa, Provinsi Sulawesi Barat,” jelasnya kepada Wolipop.

Wanita yang berusia 25 tahun itu menjelaskan bahawa idea untuk kanak-kanak bermain lato-lato ketika menyambut pengantin datang dari sepupunya.

“Idea lato-lato pada asalnya hanya untuk memeriahkan suasana kerana kebetulan musim lato-lato di kalangan kanak-kanak. Ketika saya berkumpul di rumah suami saya, idea itu datang daripada sepupu suami saya,” kata Dilah.

Dilah yang merupakan seorang guru di sekolah rendah itu mengatakan bahawa perkahwinannya berdasarkan adat kampung (Talipukki) dan busana pakaian pengantin tersebut adalah pakaian tradisional Bugis.

Jelasnya lagi, Dilah tidak menyangka bahawa aksi kanak-kanak bermain lato-lato ketika menyambutnya dan suami tersebar luas di media sosial.

“Posting itu pada asalnya dirakam oleh seorang bapa saudara suami saya, disiarkan ke Facebook dan keluarga di WhatsApp. Dari situ ia tersebar hingga ia dimuat naik semula ke TikTok oleh sepupu suami saya,” katanya.

“Apabila kami mendapat tahu video itu viral, sudah tentu kami terkejut kerana kami tidak menyangka bakal seramai itu,” katanya lagi.

Video tersebut telah memperoleh 1.6 juta tontonan, 5,838 retweets dan 16.8k tanda suka di laman Twitter.

Sumber: Wolipop

Noorliyana Ishak