Siakap Keli
orang asli diterbangkan hadiri spm
Kredit: JBPM Johor via BERNAMA

Tiga Calon SPM Orang Asli Mersing Diterbangkan Untuk Hadiri Pemeriksaan

Tiga Calon SPM Orang Asli Mersing Diterbangkan Untuk Hadiri Pemeriksaan

MERSING, 1 Feb (Bernama) — Tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Kampung Orang Asli Punan dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nitar di sini menaiki helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam, untuk menghadiri peperiksaan berkenaan.

Pemangku Pengarah JBPM Johor Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd Rizal Buang berkata Norfaizal Selamat, Jefzulkiflie Addy dan Christie Maurinissca Clay masing-masing berusia 18 tahun dan merupakan Orang Asli Suku Jakun itu dibawa menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW189.

Beliau berkata difahamkan ketiga-tiga calon itu sepatutnya hadir ujian amali sains SPM pada Isnin lepas (30 Jan), namun terpaksa ditangguhkan berikutan jalan raya yang menghubungkan kawasan penempatan mereka masih ditenggelami air.

“Bagaimanapun, atas dasar pertimbangan pihak SMK Nitar, ketiga-tiga calon berkenaan dibenarkan menghadiri ujian itu hari ini.

“Kesemua mereka akan tinggal di asrama sekolah berkenaan sepanjang peperiksaan SPM berlangsung,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Setakat 12 tengah hari tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 1,373 orang melibatkan empat daerah iaitu Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing dan Segamat.

Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), peperiksaan SPM 2022 dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac ini melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis membabitkan 403,637 calon.

SPM bermula 30 Jan

Terdahulu, KPM memaklumkan SPM 2022 akan dilaksanakan mulai 30 Jan hingga 15 Mac depan melibatkan ujian amali sains, ujian bertutur, ujian mendengar dan peperiksaan bertulis.

Ujian Amali Sains (Fizik) akan diadakan pada 30 Jan membabitkan 93,490 calon, Ujian Amali Sains (Biologi) pada 31 Jan membabitkan 74,642 calon, dan pada 2 Feb, seramai 94,672 calon akan menduduki Ujian Amali Sains (Kimia) dan 1,675 pelajar akan menduduki Ujian Amali Sains (Sains Tambahan).

Ujian Bertutur (Bahasa Melayu) akan diadakan pada 7 hingga 9 Feb melibatkan 397,854 calon, manakala Ujian Bertutur (Bahasa Inggeris) pula pada 13 hingga 15 Feb melibatkan 397,057 calon.

Ujian Mendengar (Bahasa Melayu) melibatkan 397,854 calon dan Ujian Mendengar (Bahasa Inggeris) membabitkan 397,057 calon akan diadakan pada 16 Feb.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kanser Otak Sejak 10 Tahun Bukan Penghalang Hafaz Quran, Ambil SPM

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana