Siakap Keli
kpm dukacita pemergian dua guru
Kredit: BERNAMA

KPM Zahir Dukacita Pemergian Dua Guru Terlibat Kemalangan Di LPT2

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Kementerian Pendidikan (KPM) menzahirkan dukacita atas pemergian dua guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dalam kemalangan berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), petang semalam.

Menterinya Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini mengucapkan takziah kepada waris keluarga Arbain Baharudin, 47, dan isterinya Rosmawati Bakar @ Lalar, 48, serta warga Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

“Semoga tabah dan sabar dengan ujian besar ini. Kami mendoakan agar roh mereka berdua dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, pasangan suami isteri itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan selepas kenderaan serbaguna (MPV) yang dinaiki terbabas di Kilometer 274, LPT2.

Sementara tiga anak mereka, Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10, dan Faikal Nabila, 8, hanya cedera di muka, kaki dan tangan.

MPV terbabas

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri maut manakala tiga anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas.

Kematian pasangan guru tersebut dipercayai berpunca daripada kecederaan parah pada bahagian badan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan dan berkata mangsa sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Gelugor, Kerteh.

Difahamkan, kemalangan ngeri itu berlaku selepas menghantar anak lelaki mereka di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, kira-kira 4 petang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Estima yang dinaiki mereka dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu, tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kenderaan tersebut kemudiannya turut berpusing beberapa kali ke arah kanan jalan sebelum terhenti di pembahagi lebuh raya,” katanya kepada media.

Pasangan tercampak keluar

Pasangan guru SMAPK terbabit dipercayai tercampak kira-kira lima hingga 10 meter dari kereta mereka semasa kemalangan berlaku.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, kata Hanyan.

Sumber: BERNAMA

BACA: Pasangan Guru SMAPK Maut, Anak Cedera Kemalangan Di LPT2

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana