Siakap Keli
jalan ipoh thaipusam ditutup
Kredit: Astro Awani

Beberapa Jalan Di Ipoh Ditutup Sempena Thaipusam

Beberapa Jalan Di Ipoh Ditutup Sempena Thaipusam

IPOH, 2 Feb (Bernama) — Beberapa jalan di sekitar daerah Ipoh akan ditutup secara berperingkat bermula 6 petang esok hingga 7 Feb ini sempena perarakan sambutan Thaipusam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata kemuncak perayaan Thaipusam yang akan disambut pada Selasa ini diadakan di dua lokasi iaitu di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh, Jalan Raja Musa Aziz dan Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Sungai Pari, Buntong.

“Bagi melancarkan perarakan pedati dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh penutupan dan lencongan jalan peringkat pertama esok bermula pukul 6 petang hingga 12.30 tengah malam pada Sabtu.

“Bagi peringkat kedua, penutupan dan lencongan jalan di sekitar kawasan Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh bermula pukul 4.30 petang Isnin hingga 10.30 pagi pada Selasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata antara laluan yang terlibat dalam perarakan pedati ialah bermula dari Jalan Sungai Pari, Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusoff, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Laxamana dan Jalan Raja Musa Aziz.

“Selain itu, penutupan jalan turut diadakan di Jalan Raja Ekram, Jalan Dato’ Onn Jaafar, Jalan Dato’ Ahmad Said, Bulatan Hospital dan Jalan Perhentian.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa penutupan jalan dibuat,” katanya.

Beliau berkata penutupan dan lencongan jalan membabitkan pergerakan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Gunung Cheroh bermula 6 pagi Ahad ini hingga 12 tengah malam.

BACA: Thaipusam: Dua Juta Pengunjung Dijangka Banjiri Batu Caves, Jalan Ditutup

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma