Siakap Keli
Kredit Sinar Harian

Gunung Baling Terbakar, Faktor Persekitaran Sukarkan Kerja Pemadaman

Gunung Baling Terbakar, Faktor Persekitaran Sukarkan Kerja Pemadaman

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengalami kesukaran dalam operasi pemadaman api di Gunung Baling yang terbakar sejak Rabu lalu ekoran daripada kedudukan yang curam dan cuaca semakin gelap di gunung tersebut, lapor Sinar Harian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Jamil Mat Daud berkata, pemantauan awal yang dibuat pada peringkat awal telah mendapati lokasi gunung tersebut terlalu curam dan sukar diakses.

Tambahnya lagi, pihaknya telah menerima panggilan susulan kejadian kebakaran itu yang dilaporkan terjadi pada jam 7.20 petang.

“Maklumat awal mengatakan terdapat kepulan asap di kawasan Gunung Baling.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati berlaku kebakaran di Gunung Baling dan api marak menghampiri kawasan puncak.

“Bagaimanapun anggota bomba yang berusaha untuk memadamkan kebakaran di kaki gunung berdepan kesukaran,” katanya lagi.

Menurut Mohd Jamil lagi, kerja-kerja pemadaman api tidak dapat dilakukan dengan segera disebabkan faktor geografi dan keadaan dinding batu kapur yang curam sehingga mencecah 90 darjah.

Selain itu, keadaan cuaca yang gelap dan berisiko kepada anggota yang terlibat telah menyebabkan operasi tersebut terpaksa ditangguhkan sehingga pagi tadi.

Namun begitu, pemantauan berkala telah dilakukan di sekitar lokasi kebakaran dari semasa ke semasa bagi mengelak daripada ia terus merebak.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka