Siakap Keli
Jawatan Disandang Anak MB Kelantan Dan Timbalan MB
Kredit Sinar Harian

Jawatan Disandang Anak MB Kelantan Dan Timbalan MB Didakwa Ikut Prosedur

Jawatan Disandang Anak MB Kelantan Dan Timbalan MB Didakwa Ikut Prosedur

Jawatan yang dipegang anak Menteri Besar Kelantan dan timbalan menteri besar negeri di Perbadanan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) adalah sah dan mengikut prosedur serta peraturan yang ditetapkan, lapor Sinar Harian.

Berdasarkan sumber dalaman PKINK, hebahan bagi kekosongan jawatan itu telah dibuat melalui pengiklanan terlebih dahulu sebelum mereka membuat permohonan dan dipanggil untuk menduduki temu duga.

“Mereka mengisi borang sebelum ditemu duga oleh panel-panel dan lulus, barulah dibuat pelantikan.

“Menteri besar dan timbalan menteri besar tidak terlibat langsung dengan proses ini bahkan bapa masing-masing tidak tahu-menahu sehinggalah kedua-duanya dipanggil untuk penilaian,” katanya kepada pemberita pada hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh individu berkenaan selepas diminta untuk mengulas berhubung isu tular yang berkait dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Sebelum ini, Datuk Mohd Amar didakwa telah melantik anaknya sendiri iaitu Ahmad Mujahid sebagai Penolong Pengurus di Bahagian Perancangan Korporat di anak syarikat milik kerajaan negeri tersebut.

Selain itu, isu itu turut terpalit dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang didakwa melantik anak perempuannya, Nor Azma Hilmah Ahmad sebagai Penolong Pengurus Bahagian Perundangan dan Integriti di perbadanan yang sama.

Kata sumber itu lagi, kedua-dua mereka telah memperolehi markah yang bagus semasa sesi temu duga dijalankan. Justeru mereka layak untuk dilantik dan tidak ada isu yang timbul walaupun ramai yang mengetahui status serta pertalian keluarga tersebut.

Terdahulu, isu pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengundang perdebatan hebat dan reaksi pelbagai dari orang ramai.

“Berbeza dengan isu Nurul Izzah kerana Anwar sendiri bercakap sebelum ini ‘tidak patut perdana menteri jadi menteri kewangan dan tidak boleh melantik keluarga’ tetapi tiba-tiba beliau yang buat perkara itu.

“Kena faham isu, kalau orang itu betul-betul layak dan mengikut proses yang betul, tidak ada apa-apa masalah kalau nak lantik,” kata sumber itu lagi.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka