Siakap Keli
kerajaan tidak campur tangan sprm
Kredit: BERNAMA

Kerajaan Tidak Campur Tangan Siasatan SPRM Terhadap Bersatu – PM Anwar

Kerajaan Tidak Campur Tangan Siasatan SPRM Terhadap Bersatu – PM Anwar

PUTRAJAYA, 2 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinannya tidak mencampuri urusan badan siasatan dan penguatkuasaan termasuk dalam siasatan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Bersatu.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa badan siasatan dan penguatkuasaan serta kehakiman kekal bebas untuk menjalankan siasatan masing-masing.

Anwar berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi parti pembangkang untuk membuat tuduhan terhadap Kerajaan Perpaduan berhubung isu tersebut.

“Kita tidak ulangi sikap menekan seperti dilakukan dan kita tidak gunakan badan-badan (siasatan dan penguatkuasaan) ini,” katanya.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam dilaporkan berkata parti itu melahirkan rasa kesal terhadap tindak-tanduk kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang menjadikan agensi di bawah pemerintahannya sebagai alat untuk mencapai matlamat politik mereka.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM telah membekukan akaun milik Bersatu bagi tujuan membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Media melaporkan pembekuan akaun berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana RM600 bilion yang digunakan ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.

Pada 6 Dis lepas Azam berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Bersatu Hantar Surat Mohon Perintah Pembekuan Akaun Dibatalkan

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana