Siakap Keli
Kredit: Bernama

KJ Belum Dilamar Sertai BERSATU Secara Rasmi – Ahmad Faizal

Parti Pribumi Bersatu Belum Lamar Khairy Jamaluddin Secara Rasmi – Ahmad Faizal

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum menjemput bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk menyertai parti tersebut secara rasmi.

Menurut Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, beliau melihat adalah lebih baik untuk bekas Ketua Pemuda UMNO itu menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana Khairy merupakan seorang ahli politik yang memiliki potensi yang besar untuk memimpin negara suatu hari nanti.

“Kami ada bersembang, tetapi tidak berbincang secara serius. Saya dengar juga jawapan beliau pada pihak media, beliau nyatakan bahawa akan memikirkan jawapannya.

“Jadi, beliau ada banyak pilihan yang sedang fikirkan. Saya yakin, tiba masanya saya berharap beliau buat keputusan yang terbaik,” kata Ahmad Faizal kepada Sinar Harian hari ini.

Untuk makluman, Khairy Jamaluddin merupakan antara individu yang dipecat dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) secara serta merta bersama Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang merangkap bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar Jumaat lalu.

Tindakan ini diambil atas dakwaan melakukan sabotaj terhadap parti tersebut ketika musim kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun lepas.

Selain itu, Ahmad Faizal turut mendakwa ramai penyokong parti itu telah berpaling tadah dan mengemukakan permohonan untuk menyertai Bersatu, susulan keputusan pemecatan dua individu tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau turut menzahirkan rasa simpati kepada beberapa ahli yang dipecat dan digantung keahlian dan mengatakan menyatakan bahawa demokrasi di dalam parti tersebut sudahpun terkubur.

“Saya tidak mahu campur masalah rumah tangga orang lain. Tapi, saya lihat demokrasi di dalam UMNO itu memang sudah tiada lagi. UMNO sudah jadi parti peribadi, boleh buat sesuka hati Presiden dan pucuk pimpinan.

“Saya lihat dengan apa yang berlaku ini menyebabkan PN menjadi pilihan yang lebih baik. Tiba-tiba jadi popular, bukan sahaja di kalangan pemimpin yang dipecat, tetapi di kalangan penyokong mereka,” ujarnya.

Oleh itu, Timbalan Presiden Bersatu itu sangat mengalu-alukan bagi mereka yang ingin berjuang bersama-sama Bersatu untuk membasmi kemungkaran, penyalahgunaan kuasa serta ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

BACA: PKR Kena Bincang Dulu, Jika Ada Pemimpin Politik Dipecat UMNO Mahu Sertai Parti

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma