Siakap Keli
Kredit: Sinar Harian

PKR Kena Bincang Dulu, Jika Ada Pemimpin Politik Dipecat UMNO Mahu Sertai Parti

PKR Kena Bincang Dulu, Jika Ada Pemimpin Politik Dipecat UMNO Mahu Sertai Parti

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, parti akan berbincang terlebih dahulu sekiranya ada pemimpin-pemimpin politik yang dipecat UMNO baru-baru ini mahu menyertai parti tersebut.

Menurutnya, keputusan berkenaan tidak boleh diputuskan oleh beliau seorang diri memandangkan hal ehwal parti memerlukan keputusan secara kolektif.

“Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

“Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau juga menambah, perbincangan tersebut di peringkat parti hanya diadakan sekiranya isu berkenaan timbul sahaja.

“Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara itu timbul, sudah pasti PKR kena bincang.

“Dan kita tak sampai ke situ lagi. Tidak timbul lagi. Selagi belum timbul, ia akan jadi spekulasi sahajalah,” ujarnya menerusi laporan Sinar Harian lagi

Terdahulu, beberapa pemimpin utama dan ahli politik elit UMNO dikenakan tindakan disiplin seperti digantung keahlian dan dipecat daripada parti tersebut.

Menerusi hantaran Facebook salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti tersebut secara serta merta.

Selain itu, UMNO turut menggantung keahlian beberapa ahli parti lain selama enam tahun seperti Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Turut digantung keahlian mereka adalah ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang serta bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

BACA: Khairy Jamaluddin & Noh Omar Dipecat Dari UMNO, Empat Lagi Digantung Keahlian

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma