Siakap Keli
Kredit National Astronomical Observatory of Japan

Pusaran Misteri Di Puncak Gunung Berapi Hawaii Cetus Tanda Tanya

Pusaran Misteri Di Puncak Gunung Berapi Hawaii Cetus Tanda Tanya

Sebuah teleskop Jepun berjaya merakam sebuah formasi bercahaya seperti pusaran air berputar pada waktu malam di atas gunung berapi di Hawaii pada awal bulan lalu, lapor NewsBeezer.

Formasi putaran misteri itu dilaporkan ditemui di atas gunung berapi tidak aktif Mauna Kea pada 18 Januari lalu.

Pada mulanya ia kelihatan seperti objek berwarna putih yang terapung di udara sebelum ia kemudiannya memancarkan gelombang dan membentuk seperti sebuah lingkaran.

“Lingkaran misteri itu telah berjaya dirakam oleh kamera Bintang Subaru-Asahi. Pusaran itu berkemungkinan berkait dengan pelancaran satelit baharu oleh syarikat SpaceX,” tulis teleskop Subaru di akaun Twitter bahasa Inggerisnya.

Lingkaran pusaran itu kemudiannya memudar menjadi bentuk seperti cincin, melengkapkan transformasi visualnya yang menakjubkan.

Pada hari yang sama, kira-kira jam 7.24 pagi, SpaceX telah melancarkan satelit penentu kedudukan global ke orbit dengan menggunakan roket Falcon 9. Ia telah berlepas dari Stesen Angkatan Angkasa Cape Canaveral di Florida.

Rakaman pelancaran satelit menunjukkan roket meluncur laju ke langit pada pagi hari yang sama. Lingkaran yang serupa telah dilaporkan muncul selepas pelancaran sebuah lagi SpaceX yang lain.

Pada Jun lalu, sebuah lagi lingkaran yang serupa telah dilaporkan muncul di langit selepas pelancaran Falcon 9 pada hari yang sama. Lingkaran itu dilaporkan telah muncul di atas Queenstown, New Zealand.

Komuniti dalam talian yang tertumpu pada angkasa lepas telah membuat spekulasi bahawa bentuk lingkaran yang ditemui selepas pelancaran roket disebabkan oleh pelepasan sisa bahan api.

Teleskop Subaru yang terletak di Mauna Kea telah dikendalikan oleh Balai Cerap Astronomi Negara Jepun yang merupakan sebuah institut penyelidikan bagi negara matahari terbit tersebut.

Sumber: NewsBeezer

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka