Siakap Keli
Gambar: AFP

SpaceX, Elon Musk Dedah Tak Lagi ‘Mampu’ Beri Perkhidmatan Percuma Satelit Starlink Untuk Ukraine

SpaceX, Elon Musk Dedah Tak Lagi ‘Mampu’ Beri Perkhidmatan Satelit Starlink Secara Percuma Untuk Ukraine

Perkhidmatan terminal internet SpaceX milik Elon Musk, Starlink yang ditawarkan di Ukraine sejak pencerobohan Rusia ke atas negara itu mungkin ditamatkan tak lama lagi, lapor CNN.

Kemudahan tersebut menjadi pembekal komunikasi penting, khususnya kepada tentera Ukraine selepas serangan yang dilancarkan Rusia sebelum ini memusnahkan rangkaian telefon dan internet di negara tersebut.

Setakat ini, kira-kira 20,000 unit satelit Starlink telah didermakan kepada Ukraine. Secara keseluruhan, SpaceX menanggung kos perkhidmatan sebanyak RM376 juta dan nilainya dijangka melebihi RM 470 juta menjelang akhir tahun ini. 

Walau bagaimanapun, bantuan itu mungkin bakal berakhir apabila SpaceX memberi amaran kepada Pentagon bahawa mereka mungkin akan menghentikan pembiayaan perkhidmatan satelit itu di Ukraine, kecuali kerajaan menyalurkan dana bernilai puluhan juta dollar yang diperlukan setiap bulan.

Menurut CNN, perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh SpaceX melalui sepucuk surat yang dihantarkan kepada Pentagon bulan lepas.

Menerusi surat itu juga, SpaceX meminta Pentagon untuk mengambil alih membiayai penggunaan Starlink oleh kerajaan dan tentera Ukraine yang menelan kos lebih RM564 juta sehingga hujung tahun ini dan boleh mencecah sehingga RM1.8 bilion untuk 12 bulan berikutnya. 

“Kami tidak berada di posisi untuk berterusan menderma atau membiayai terminal sedia ada dalam tempoh masa yang tidak ditentukan,” tulis pengarah syarikat pengeluaran SpaceX kepada Pentagon menerusi surat tersebut pada September. 

Elon Musk baru-baru ini menjadi tumpuan media apabila dilihat bertelagah secara terbuka dengan beberapa pemimpin utama Ukraine, termasuk dengan Presidennya, dipercayai berkaitan dengan cadangan penyelesaian konflik yang dikongsikan di laman Twitternya.

BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China

Sumber: CNN

Faiz Mustafa