Siakap Keli
maksud logo malaysia madani
Kredit: Facebook

PM Kongsi Rupa & Maksud Logo Malaysia Madani

PM Kongsi Rupa & Maksud Logo Malaysia Madani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah berkongsi rekaan dan maksud logo Malaysia Madani kepada orang ramai.

Konsep itu yang diperkenal pentadbirannya adalah salah satu usaha untuk mengangkat semula martabat negara di mata dunia.

Berdasarkan infografik dimuat naik di media sosial rasminya, ia mempunyai reka bentuk seakan tapak tangan dan mengambil warna dari empat warna Jalur Gemilang.

Simbolisme jalur merah putih pada lima jari dalam logo itu merujuk kepada asas ideologi Malaysia iaitu, Lima Prinsip Rukun Negara.

Manakala, bulatan berwarna biru seakan “tapak tangan” bermaksud kebulatan, muafakat dan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Logo Malaysia Madani ini juga turut menampilkan bentuk bulan sabit, iaitu simbolik kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Selain bulan sabit, bentuk bintang berbucu 14 pula melambangkan perpaduan dalam kalangan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Pada bahagian bawah inforgrafik tersebut, terdapat keterangan mengenai maksud bagi setiap warna yang terdapat dalam logo Malaysia Madani.

Antara warna yang digunakan untuk logo berkenaan adalah warna biru yang melambangkan kesatuan nasional, keterangkuman dan persaudaraan. Manakala warna merah pula membawa maksud keberanian, jati diri dan keazaman.

Seterusnya, warna kuning mewakili nilai tradisi, kebudayaan serta kearifan tempatan dan putih melambangkan keluhuran budi, kesucian hati dan hasrat murni.

Beliau turut berkata, Malaysia Madani yang dibawanya merupakan jalan yang membawa kemajuan untuk Malaysia serta masyarakatnya yang pelbagai kaum dan budaya.

“Kita pastinya berusaha agar nilai-nilai ini digerak serta dilaksana sebaiknya,” katanya.

Konsep Malaysia Madani telah diperkenalkan secara rasmi pada 19 Jan lepas

Perkataan MADANI tersebut diambil berdasarkan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Manakala, perkataan “Madani” secara literal membawa erti maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan (masyarakat, generasi dan sebagainya).

Dalam pada itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang menekankan konsep itu sesuai untuk membangunkan masyarakat dan negara yang diselarikan dengan agenda perpaduan negara.

Tambahnya, masyarakat Madani merupakan sebuah masyarakat yang beradab (civilised). Iaitu masyarakat yang maju dari segi pemikiran, kerohanian, dan material dengan menyemai nilai-nilai murni seperti semangat kekeluargaan dan perpaduan.

BACA: Maksud Malaysia Madani, Slogan Baharu Negara Malaysia

Sumber: Anwar Ibrahim via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma