Siakap Keli
klopp liverpool rashford
Gambar: AFP

Klopp Minta Pemain Liverpool ‘Belajar’ Dengan Rashford

Klopp Minta Pemain Liverpool ‘Belajar’ Dengan Rashford

Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp dilapor menjadikan kebangkitan bintang Manchester United, Marcus Rashford sebagai contoh yang perlu dipelajari oleh pemain-pemainnya.

Beliau berkata, peningkatan prestasi yang ditunjukkan penyerang Red Devils itu dalam saingan EPL sejak kembali dari Piala Dunia adalah apa yang dia ingin lakukan di Liverpool ketika ini.

Rashford hanya menrekodkan lima jaringan sahaja sepanjang musim lepas, namun untuk musim ini, beliau sudahpun menjaringkan 18 gol dalam semua pertandingan.

”Beberapa pemain kami tidak berada pada prestasi terbaik mereka dan konsisten seperti yang mereka tunjukkan sebelum ini.

”Salah satu contoh terbaik yang boleh kita lihat adalah Marcus Rashford. Perbezaan prestasinya musim lepas dan musim ini, saya fikir Rashford sendiri pun sukar nak menjelaskannya. Tapi, itulah sepatutnya berlaku.

”Apabila melalui tempoh getir, anda perlu memperbaikinya,” kata Klopp.

Pasukan yang menjadi pencabar empat trofi musim lepas itu bergelut dan hanya berada di pertengahan liga untuk musim ini. Dengan kali terakhir kemenangan dicatatkan ke atas Leicester pada Disember lepas, Klopp ternyata berharap pasukannya akan meraih keputusan positif menentang Wolves malam ini (waktu Malaysia).

Pemain utama cedera dan prestasi merudum

Prestasi merudum itu salah satunya berpunca daripada deretan pemain utama Liverpool, yang mengalami kecederaan musim ini. Selain itu, beberapa tonggak utama, terutamanya pemain tengah juga bergelut mencari prestasi terbaik masing-masing.

Di barisan hadapan, hanya Darwin Nunez dan Mohamed Salah sahaja yang mencatatkan angka jaringan dua digit. Selain itu, dibarisan pertahanan pula Liverpool hanya mencatatkan lima cleen sheets selepas mengharungi 19 perlawanan.

Mengambil kira jadual bulan Februari yang begitu padat dan sukar, ramai yang menjangkakan Liverpool akan bergerak aktif dalam pasaran perpindahan untuk menguatkan skuadnya. Namun begitu, ia tidak berlaku dengan pasukan itu hanya membawa masuk Cordy Gakpo sahaja sepanjang Januari.

Selain bertemu Wolves malam ini, Liverpool akan bertemu Everton dalam Merseyside Derby pada 14 Februari. Seterusnya, anak buah Klopp akan bertandang ke St. James Park untuk berdepan pasukan empat teratas liga, Newcastle lima hari kemudian.

Ujian lebih getir menanti mereka apabila saingan Liga Juara-juara Eropah kembali bersambung. Liverpool akan melayan kunjungan juara musim lepas, Real Madrid di Anfield pada 22 Februari.

Selepas bertemu Crystal Palace pada 26 Februari, Liverpool terpaksa berdepan dengan seteru abadi, Manchester United pula pada 6 Mac. Mengambil kira lawan kini berada pada prestasi terbaik, Liverpool dijangka sukar untuk mengulangi kejayaan menewaskan pasukan itu 4-0 pada musim lepas, ketika turun sebagai tuan rumah.

BACA: Banjir: PPS Di Kedah, Sarawak Ditutup Sepenuhnya Petang Ini

Sumber: Manchester Evening News

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.