Dalam kehidupan ini, setiap orang mempunyai perjuangan masing-masing, lebih-lebih lagi apabila melibatkan usaha mencari rezeki demi meneruskan kelangsungan hidup.
Ada yang terpaksa menempuh perjalanan jauh, berdepan pelbagai kesukaran dan tidak kurang juga yang perlu melalui pelbagai dugaan sebelum memperoleh pekerjaan yang diimpikan.
Namun, di sebalik segala cabaran itu, kesungguhan dan sikap tidak mudah berputus asa kadangkala menjadi sesuatu yang cukup bermakna, malah mampu membuka pintu rezeki tanpa disangka-sangka.
Begitulah kisah seorang calon temu duga yang dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, @mohamadsulaimi, baru-baru ini sehingga menyentuh hati ramai.
“Hari ini saya belajar sesuatu daripada seorang calon interview”
Menerusi perkongsian tersebut, lelaki berkenaan memaklumkan bahawa dia sepatutnya menerima kehadiran salah seorang calon bagi menghadiri sesi temu duga kerja pada sebelah petang.
Bagaimanapun, calon tersebut secara tiba-tiba menghubunginya menerusi WhatsApp untuk memaklumkan bahawa dia terpaksa berhenti di tepi jalan selepas hujan lebat turun ketika dalam perjalanan.
“Hi encik, minta maaf untuk pertukaran akhir waktu, saya terpaksa berhenti di tepi jalan disebabkan hujan yang sangat lebat tiba-tiba,” tulis calon berkenaan.

Menurutnya, calon tersebut turut menjelaskan bahawa keadaan cuaca pada awal perjalanan adalah cerah dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan hujan.
Lebih menyentuh hati, calon berkenaan kemudian menghantar sekeping gambar memperlihatkan dirinya dalam keadaan basah kuyup akibat terkena hujan lebat.
Namun, apa yang benar-benar menyentuh hati lelaki itu bukanlah keadaan calon tersebut yang kebasahan, sebaliknya kesungguhannya untuk tetap menghadiri sesi temu duga berkenaan.
“Tapi apa yang buat saya tersentuh bukan sebab dia basah kena hujan.
“Dia masih cuba untuk hadir. Masih berpakaian kemas. Masih menjaga penampilan walaupun keadaan tak menyebelahi dirinya,” katanya.

Sanggup teruskan perjalanan selepas hujan berhenti
Susulan kejadian itu, calon berkenaan bertanyakan sama ada sesi temu duganya boleh ditangguhkan sehingga keesokan hari.
Memahami situasi yang dihadapi, lelaki tersebut bersetuju untuk menyusun semula jadual temu duga berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa jam selepas itu, dia sekali lagi menerima mesej WhatsApp daripada calon yang sama.
Kali ini, calon tersebut memaklumkan bahawa hujan sudah berhenti dan pakaiannya juga telah kering, sekali gus menyatakan hasrat untuk meneruskan sesi temu duga pada hari yang sama.

“Hi encik, saya interview sekarang ya. Baju dah kering. Hujan pun dah berhenti, alhamdulillah,” tulisnya.
Terkejut dengan kesungguhan calon berkenaan, lelaki itu bertanyakan sama ada dia masih sempat untuk hadir.
Jawapan ringkas yang diterima ternyata cukup menyentuh hatinya.
“Dah sampai.”
Menurut lelaki tersebut, meskipun terpaksa meredah hujan lebat, berhenti di tepi jalan dan berdepan keadaan pakaian basah kuyup, calon itu tetap memilih untuk meneruskan perjalanan demi menghadiri temu duga berkenaan.
Lebih menggembirakan, segala usaha dan kesungguhan calon tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya diterima bekerja.
“Dan berita baiknya… DIA DITERIMA BEKERJA!
“Insya-Allah, dia akan mula bekerja pada 19 haribulan,” kongsinya.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan menjelaskan bahawa perkongsiannya bukanlah bertujuan menggalakkan orang ramai meredah hujan atau membahayakan diri semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan.
Sebaliknya, dia menegaskan bahawa keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua keadaan.
Apa yang ingin disampaikan adalah mengenai nilai kesungguhan, sikap dan keazaman seseorang calon yang kadangkala tidak dapat dinilai hanya melalui sekeping resume.
“Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mencari orang yang mempunyai pengalaman, kelayakan dan kemahiran.
“Sampai kita terlupa bahawa sikap dan kesungguhan juga merupakan satu nilai yang sangat besar,” jelasnya.
Sebagai individu yang terlibat dalam pengurusan operasi dan pengambilan pekerja, pengalaman tersebut turut mengingatkannya tentang kepentingan memberikan peluang kepada setiap calon untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Dia turut menitipkan pesanan kepada mereka yang masih berusaha mencari pekerjaan supaya tidak mudah mengalah meskipun belum menerima sebarang tawaran.
Pada masa sama, dia berharap agar majikan dan individu yang menguruskan proses pengambilan pekerja tidak hanya menilai calon berdasarkan kelayakan di atas kertas.
“Jangan hanya melihat pada resume. Berikan peluang untuk kita mengenali manusia di sebalik resume tersebut.
“Kerana kadang-kadang, calon yang paling kita perlukan bukanlah yang mempunyai resume paling hebat, tetapi yang mempunyai kesungguhan untuk tidak mudah menyerah,” ujarnya.

Mengakhiri perkongsian, lelaki berkenaan turut mendoakan agar calon tersebut terus berjaya dalam kerjaya baharunya.
“Hari ini saya belajar satu perkara. Tiada usaha yang sia-sia.
“Rezeki mungkin tidak datang ketika kita jangka, tetapi jangan berhenti berusaha untuk menjemputnya.
“Semoga adik ini terus maju dalam kerjaya baharunya. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Kisah tersebut menjadi satu peringatan bahawa di sebalik setiap usaha mencari pekerjaan, ada perjuangan dan pengorbanan yang mungkin tidak diketahui orang lain.
Kadangkala, peluang yang dinanti-nantikan hadir bukan sahaja kerana kelayakan dan pengalaman, tetapi juga kerana seseorang itu diberikan ruang untuk memperlihatkan kesungguhan dirinya.
