Siakap Keli
bayi terjatuh dalam perigi
Gambar: Khaosod English

Bayi Terjatuh Dalam Perigi Berjaya Diselamatkan

Bayi Terjatuh Dalam Perigi Berjaya Diselamatkan

BANGKOK — Seorang bayi berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat hari ini selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 13 meter di kawasan terpencil, luar bandar Thailand petang semalam.

Memetik AFP, misi menyelamat bayi perempuan itu telah dilancarkan sejak semalam.

Sementara itu, menurut portal Thai PBS World, mangsa pada awalnya berjaya ditemui sekitar jam 8 pagi waktu tempatan. Namun, usaha membawa mangsa keluar mengambil sedikit masa berikutan bayi berkenaan mengalami kecederaan pada bahagian kaki.

Menurut ibu bapa mangsa, kejadian itu berlaku sewaktu mereka membawanya bersama ke tempat kerja (ladang ubi kayu). Mereka telah meletakkan mangsa di bawah pokok bersebelahan timbunan tanah.

Selepas berehat, mereka mendapati bayi perempuan itu tidak kelihatan di lokasi terakhir. Setelah mencari, mereka terdengar tangisan dari arah lubang perigi berkenaan dan segera meminta bantuan.

Ketua Unit Penyelamat daerah, Tha Sai Luat berkata, pada awalnya misi menyelamat menggunakan cangkul untuk menggali lubang kira-kira 10 meter dalam sebelum menggunakan tangan.

Tambahnya, usaha itu terpaksa dihentikan berikutan bimbang berlaku runtuhan dan membahayakan bayi itu selepas menggali dengan lebih dalam.

Selepas membawa turun kamera ke dalam lubang itu mendapati mangsa masih lagi bernyawa. Bantuan oksigen telah dipam ke dalam lubang perigi bagi membolehkan mangsa bernafas.

Susulan kejadian, operasi menyelamat telah dilakukan dengan menggunakan bantuan mesin penggali mekanikal bagi mencapai mangsa.

Ketua Polis Phop Phra, Ratsaran Ketsoising sewaktu memaklumkan kepada AFP berkata, mangsa berada dalam keadaan keletihan namun masih menunjukkan kadar denyutan nadi yang baik.

Sementara itu, menerusi rakaman video di lokasi kejadian memaparkan pasukan penyelamat gigih menggali dasar tanah berwarna merah.

Difahamkan, mangsa merupakan anak kepada pekerja warga asing dari Myanmar.

Sehingga kini, bayi perempuan itu telah menerima rawatan lanjut selepas dikejarkan ke Hospital Daerah Phop Phra.

BACA JUGA: Luqman Hakim Sah Sertai Njarðvík FC Secara Pinjaman

Terdahulu, seorang budak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah lubang sedalam 35 meter, lapor AFP.

Kejadian itu berlaku di sebuah tapak pembinaan di wilayah selatan Dong Thap, Vietnam pada awal bulan Januari lalu.

Susulan kejadian, ratusan anggota penyelamat telah dikerahkan ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, misi tersebut berdepan kesukaran akibat lebar tiang konkrit hanya 25 sentimeter.

Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia berikutan kedalaman tiang yang dalam dan mengalami pelbagai kecederaan.

Sumber: AFP, Thai PBS World

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?