Getir, Suhu Sejuk Ancam Mangsa Gempa Bumi Turkiye
Situasi di wilayah Turkiye yang terjejas teruk dengan tiga insiden gempa bumi minggu ini diburukkan lagi dengan cuaca sejuk yang melanda negara itu ketika ini.
Keadaan suhu sejuk itu dilapor menyukarkan usaha pencarian mangsa-mangsa bencana gempa bumi Turkiye yang masih berada di sebalik runtuhan-runtuhan bangunan.
Difahamkan, pasukan penyelamat juga berdepan situasi getir untuk mencari mangsa-mangsa yang tertimbus dengan suhu mencecah di bawah takat beku pada Isnin.
Banyak pihak kini bimbang, cuaca dingin ini boleh menyebabkan mangsa-mangsa yang terperangkap dalam runtuhan terkena serangan hiportemia dan frostbite. Malah lebih parah, mungkin ada yang meninggal dunia kerana kesejukkan.
Manakala mangsa yang terselamat dan yang kehilangan tempat tinggal juga terpaksa bertahan dalam cuaca sejuk pada waktu malam disamping cuaca berangin yang melanda Turkiye ketika ini.
Malah, mangsa-mangsa yang dihantar ke hospital berdekatan juga berdepan dengan situasi serupa. Ia selepas infastruktur bekalan tenaga yang penting untuk menghidupkan alat pemanas turut musnah dalam kejadian gempa berkenaan.
Pada masa yang sama, salji turut dilaporkan turun di beberapa kawasan terlibat ketika gegaran berlaku.
Lebih 3,000 maut setakat ini
Terdahulu, gempa bumi kuat magnitud 7.8 menggegar tengah Turkiye dengan gegaran turut dirasai sehingga barat daya Syria. Ia turut disusuli dengan dua gempa susulan, masing-masing berkekuatan 6.7 dan 7.5 magnitud. Beberapa gempa susulan dengan magnitud lebih rendah dilapor turut berlaku.
Akibat bencana tersebut, banyak bangunan dilapor runtuh yang menyaksikan lebih 3,000 orang maut setakat ini.
Pegawai Kecemasan Kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (Eropah), Catherine Smallwood dalam pada itu berkata kepada AFP, angka kematian sebenar boleh meningkat sebanyak lapan kali ganda dari angka awal.
“Terdapat potensi berlakunya keruntuhan berterusan. Jadi kami meramalkan kebarangkalian itu. Kami sentiasa peka dengan gempa bumi.
“Laporan awal mendedahkan bilangan mangsa atau orang yang tercedera akan meningkat dengan ketara pada minggu berikutnya,” katanya.
Untuk pengetahuan, Turkiye terletak di salah satu lokasi seismik (gempa) paling aktif di dunia termasuk gegaran yang berlaku semalam.
Sumber: Fox Weather