Siakap Keli
nazri duta malaysia
Gambar: Bernama

Nazri Aziz Dilantik Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat

Nazri Aziz Dilantik Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR — Bekas ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Pelantikan itu dibuat selepas mendapat perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kementerian Luar Negeri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelantikan itu diadakan dalam satu istiadat penyerahan watikah pelantikan.

Tambah kementerian itu lagi, Nazri merupakan graduan Lincoln’s Inn di United Kingdom dan mempunyai pengalaman luas sebagai anggota pentadbiran negara.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Menteri Pembangunan Perusahaan, Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Selain Nazri, terdapat sembilan lagi Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dilantik.

BACA JUGA: Kadar Dividen Berbeza Setiap Tahun, Berbaloi Atau Tidak Melabur Dalam ASB? Ini Yang Anda Perlu Tahu 

Antaranya, Dato Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin yang dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia.

Seterusnya, Duta Besar Malaysia ke Republik Filipina disandang oleh Dato’ Abdul Malik Melvin Castelino Anthony dan Hendy Assan sebagai Duta Besar Malaysia ke Holy See.

Dalam pada itu, Hafizah Abdullah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Sweden.

Manakala, Gloria Corina Peter Tiwet dilantik Duta Malaysia ke Republik Persekutuan Brazil.

Ruzaimi Mohamad pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Kenya dan  Suzilah Mohd Sidek menyandang jawatan Duta Besar Malaysia ke Republik Czech.

Duta Besar Malaysia ke Republik Demokratik Timor-Leste diberikan kepada Amarjit Singh Sarjit Singh dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait disandang oleh Alauddin Mohd Nor.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah mengumumkan persaraannya dari arena politik tanah air pada tahun 2021, lapor Astro Awani.

Pengumuman itu menyaksikan Nazri tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terdahulu.

Difahamkan, beliau mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Sumber: Kementerian Luar Negeri

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?