Siakap Keli
SMART keluarkan 5 mangsa
Gambar: Agensi Pengurusan Bencana Negara

Gempa Bumi Turkiye: SMART Berjaya Keluarkan 5 Lagi Mangsa Tertimbus Dalam Runtuhan

Gempa Bumi Turkiye: SMART Berjaya Keluarkan 5 Lagi Mangsa Tertimbus Dalam Runtuhan

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dilaporkan berjaya keluarkan 5 lagi mangsa gempa bumi Turkiye yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan 7 tingkat di Nurdagi, Gaziantep.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Agensi Pengurusan Bencana negara, 5 mangsa tersebut berjaya dikeluarkan dengan selamat melalui kaedah Cutting & Breaking.

“Kaedah Cutting & Breaking menggunakan peralatan khas pasukan SMART telah dilaksanakan dalam operasi kali ini.

“Operasi amat rumit dan berbahaya memandangkan struktur tidak stabil,” tulis hantaran tersebut.

Kelima-lima mangsa dilaporkan terdiri daripada 3 lelaki dewasa, 1 wanita dewasa dan 1 kanak-kanak perempuan.

Walau bagaimanapun, pasukan SMART menyatakan bahawa kesemua mangsa yang dikeluarkan itu dijumpai telah meninggal dunia.

“Mangsa yang dijumpai telah meninggal dunia. Salam Takziah,” tambah hantaran itu lagi.

Dalam operasi SMART yang terdahulu, Siakap Keli ada melaporkan bahawa SMART telah menemui tiga mangsa iaitu seorang lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang ditemui telah meninggal dunia. Tiada maklumat dikongsikan sama ada ketiga-tiga mangsa yang ditemui adalah mangsa yang sama dalam maklumat awal yang dilaporkan terperangkap.

Selain daripada mencari mangsa yang terperangkap, SMART turut memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang mengalami masalah kesihatan di lokasi tersebut.

Semalam, pihaknya telah memberi bantuan awal kepada salah seorang mangsa runtuhan yang terkena serangan jantung. Bantuan awal itu diberikan oleh salah seorang anggota paramedik daripada pasukan berkenaan.

Penghantaran pasukan SMART adalah bertujuan untuk membantu agensi tempatan dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di sana.

Setakat ini, negara sudah pun menghantar dua kumpulan anggota SMART ke sana termasuk anjing pengesan. Sebaik tiba Turkiye dan sesi taklimat selesai, SMART tidak menunggu lama untuk turun ke kawasan bencana dan menjalankan operasi.

Angka korban terkini bencana gempa bumi di Turkiye

Terbaharu, jumlah korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Türkiye sudah melepasi 21,000 orang, lapor The Guardian yang memetik maklumat daripada Agensi Anadolu.

Daripada jumlah tersebut, 17,674 mangsa maut ditemui di Turkiye manakala 3,377 lagi di Syria, menjadikan keseluruhan mereka yang maut adalah 21,051 orang.

Sumber: SMART via Facebook

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka