Siakap Keli
SMART jumpa tiga mayat
Kredit: Facebook SMART

SMART Jumpa Tiga Mayat Dalam Runtuhan Gempa

SMART Jumpa Tiga Mayat Dalam Runtuhan Gempa

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berganding bahu bersama pihak berkuasa tempatan bagi mengesan mangsa gempa bumi di selatan Turkiye.

Berdasarkan hantaran Facebook rasmi SMART, pasukan SMART 01 telah digerakkan ke sebuah kawasan runtuhan di Nurdagi, Gaziantep.

Kawasan runtuhan tersebut dilaporkan merupakan bekas tapak bagi sebuah bangunan setinggi tujuh tingkat. Difahamkan, pasukan SMART dikerah ke kawasan tersebut selepas maklumat awal mendapati tiga mangsa terperangkap di sebalik runtuhan tersebut.

SMART jumpa tiga mayat

Selepas dua jam bertungkus-lumus mengesan mangsa dengan bantuan peralatan khas, SMART akhirnya menemui tiga mangsa iaitu seorang lelaki, seorang perempuan dan seorang kanak-kanak.

Bagaimanapun, kesemua mangsa yang ditemui telah meninggal dunia. Tiada maklumat dikongsikan sama ada ketiga-tiga mangsa yang ditemui adalah mangsa yang sama dalam maklumat awal yang dilaporkan terperangkap.

BACA: SMART Bantu Mangsa Gempa Turkiye Diserang Sakit Jantung

Selain daripada mencari mangsa yang terperangkap, SMART turut memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang mengalami masalah kesihatan di lokasi tersebut.

Semalam, pihaknya telah memberi bantuan awal kepada salah seorang mangsa runtuhan yang terkena serangan jantung. Bantuan awal itu diberikan oleh salah seorang anggota paramedik daripada pasukan berkenaan.

Pemain bola turut beri bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi Turkiye-Syria

Selain daripada badan-badan kerajaan, individu-individu yang terkenal seperti atlet bola sepak turut menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

Bekas pemain Jerman, Mesut Ozil dilapor menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria pada Isnin lalu, memetik SportsBrief.com.

Selain Ozil, penyerang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo bersama-sama bekas pasukannya di Juventus, Leonardo Bonucci turut menyalurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi.

Malah, Ronaldo juga dikatakan bertindak melelong salah satu daripada jersi kelab dengan tandatangannya untuk disalurkan kepada mangsa-mangsa bencana ini

Angka korban terkini bencana gempa bumi di Turkiye

Terbaharu, jumlah korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Türkiye sudah melepasi 21,000 orang, lapor The Guardian yang memetik maklumat daripada Agensi Anadolu.

Daripada jumlah tersebut, 17,674 mangsa maut ditemui di Turkiye manakala 3,377 lagi di Syria, menjadikan keseluruhan mereka yang maut adalah 21,051 orang.

BACA: Gempa Bumi: Angka Korban Di Turkiye Sudah Melepasi 12,000 Orang- Agensi

Sumber: SMART via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma