Siakap Keli
Australia & New Zealand
Gambar via AFP

Australia Dan New Zealand Negara Paling Selamat Diduduki Jika Perang Nuklear Berlaku – Kajian

Australia Dan New Zealand Negara Paling Selamat Diduduki Jika Perang Nuklear Berlaku – Kajian

Para penyelidik mendapati bahawa Australia dan New Zealand adalah antara tempat paling selamat untuk mengharungi perang nuklear pada musim sejuk, lapor The Guardian.

Dua negara tersebut mampu membantu untuk menghidupkan semula tamadun manusia yang runtuh kesan daripada perang nuklear.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Risk Analysis menggambarkan Australia, New Zealand, Iceland, Kepulauan Solomon dan Vanuatu sebagai negara yang mampu menghasilkan makanan yang mencukupi.

Sumber makanan dipercayai mencukupi bagi negara-negara tersebut untuk menampung penduduknya yang terkesan dalam malapetaka pengurangan cahaya seperti perang nuklear dan letusan gunung berapi super.

“Kemungkinan akan ada mangsa yang terselamat di seluruh planet dalam senario yang paling teruk,” tulis para penyelidik dalam kajian itu.

Selain itu, kajian itu juga menyatakan bahawa mereka yang berada di negara paling berdaya tahan mempunyai peluang terbaik untuk mengelakkan keruntuhan pra-industri.

Penyelidik telah membandingkan 38 negara kepulauan menerusi 13 faktor yang mereka jangkakan boleh berjaya untuk terselamat selepas pasca apokaliptik.

Ia termasuk pengeluaran makanan, tenaga, pembuatan dan kesan bencana terhadap iklim.

BACA: Minum Air Kencing Untuk Hidup, Remaja Lega Diselamatkan Selepas 94 Jam Terperangkap

Australia dan New Zealand merupakan negara pertanian yang teguh dan terletak jauh dari lokasi yang mungkin berlaku kejatuhan nuklear di hemisfera utara.

Secara keseluruhan negara Australia menunjukkan prestasi terbaik dan menduduki tempat teratas.

“Penyimpanan bekalan makanan Australia sangat besar, dengan potensi untuk memberi makan kepada berpuluh-puluh juta orang,” tulis kajian itu lagi.

Infrastruktur Australia yang agak baik, lebihan tenaga yang besar, keselamatan kesihatan yang tinggi serta belanjawan pertahanan yang membantu melonjakkannya ke puncak dalam senarai.

Australia mungkin mempunyai kesemua ciri faktor tersebut.

Namun bila dilihat hubungan ketenteraannya yang agak rapat dengan UK dan AS menjadikan ia lebih berkemungkinan untuk menjadi sasaran dalam perang nuklear.

New Zealand pula telah mempamerkan beberapa kelebihan terutamanya status bebas nuklear mereka yang telah lama wujud, kata penulis.

Ketahanannya sekiranya berlaku penurunan mendadak suhu global yang didorong kegelapan akibat malapetaka juga akan membantu.

Memandangkan New Zealand agak hampir dengan lautan, ia telah melindunginya daripada kejatuhan suhu yang melampau.

“Mempunyai ekonomi eksport makanan yang sangat cekap dan mampu membekalkan makanan kepada penduduk berulang kali,” kata salah seorang pengarang kajian, Prof Nick Wilson dari Universiti Otago Wellington.

Walaupun dalam senario terburuk dengan pengurangan 61% dalam tanaman semasa musim kegelapan nuklear yang berpanjangan. Penduduk New Zealand dipercayai masih akan cukup makan, tambahnya.

“Saya bimbang tentang keselamatan palsu New Zealand,” kata Wilson lagi.

Negara ini tidak lagi mempunyai sebarang kemudahan penapisan bahan api dan sangat bergantung kepada import.  Import seperti diesel, racun perosak dan jentera diperlukan untuk menjalankan sektor pertanian dominannya.

Negara pulau lain akan dapat menghasilkan makanan yang mencukupi dalam krisis sedemikian. Tetapi kemungkinan keruntuhan industri dan perpaduan sosial meletakkan daya tahan mereka dalam keraguan.

Negara seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat dilihat akan mengalami kejatuhan dalam pengeluaran makanan sehingga 97% sewaktu musim sejuk nuklear. Mereka juga mungkin akan bergantung pada teknologi pengeluaran makanan yang baharu.

Sumber: The Guardian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka