Siakap Keli
SMART keluarkan 5 mangsa hidup
Kredit SMART

Gempa Bumi Turkiye: SMART Berjaya Keluarkan 5 Mangsa Masih Hidup Dari Bawah Runtuhan

Gempa Bumi Turkiye: SMART Berjaya Keluarkan 5 Mangsa Masih Hidup Dari Bawah Runtuhan

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dilaporkan berjaya keluarkan lima lagi mangsa gempa bumi Turkiye yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan enam tingkat di Nurdagi, Gaziantep.

Menerusi hantaran Facebook rasmi Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), terdapat enam mangsa yang dikesan terperangkap namun hanya lima yang berjaya dibawa keluar setakat ini.

“Dipercayai 6 mangsa terperangkap, setelah 1 jam menggunakan peralatan khas, pihak Pasukan SMART berjaya mengeluarkan 5 mangsa hidup iaitu 3 perempuan dan 2 lelaki,” tulis hantaran tersebut.

Menurut perkongsian itu lagi, kesemua mangsa yang terselamat telah dihantar ke hospital.

Pasukan SMART kini dilaporkan masih meneruskan operasi bagi mengesan mangsa keenam.

“Pasukan SMART juga sedang mengesan mangsa ke 6 menggunakan peralatan iRis camera. Operasi masih diteruskan,” tulis muat naik hantaran tersebut.

Video SMART keluarkan 5 mangsa masih hidup

Terdahulu, pasukan SMART telah berjaya mengeluarkan lima orang mangsa di bandar yang sama.

Kelima-lima mangsa dilaporkan terdiri daripada 3 lelaki dewasa, 1 wanita dewasa dan 1 kanak-kanak perempuan.

Walau bagaimanapun, pasukan SMART menyatakan bahawa kesemua mangsa yang dikeluarkan itu dijumpai telah meninggal dunia.

Selain daripada mencari mangsa yang terperangkap, SMART turut memberikan bantuan kecemasan kepada mangsa yang mengalami masalah kesihatan di lokasi tersebut.

Pasukan SMART telah memberi bantuan awal kepada salah seorang mangsa runtuhan yang terkena serangan jantung. Bantuan awal itu diberikan oleh salah seorang anggota paramedik daripada pasukan berkenaan.

Penghantaran pasukan SMART adalah bertujuan untuk membantu agensi tempatan dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di sana.

Setakat ini, negara sudah pun menghantar dua kumpulan anggota SMART ke sana termasuk anjing pengesan. Sebaik tiba Turkiye dan sesi taklimat selesai, SMART tidak menunggu lama untuk turun ke kawasan bencana dan menjalankan operasi.

Angka korban terus meningkat

Menurut sumber rasmi dan perubatan setakat dua hari lepas, angka korban yang direkodkan di Turkiye adalah 17,674 orang manakala 3,377 lagi dicatatkan di Syria.

Jumlah kematian bagi kedua-dua negara ini dikhuatiri akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Sumber: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia via Facebook

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka