Siakap Keli
Orang Cantik Selalu Dapat Kelebihan

“Pretty Privilege”, Betul Ke Orang Cantik Selalu Dapat Kelebihan Berbanding Orang Lain?

*Artikel ini dibawa oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan)

“Pretty Privilege”, Betul Ke Orang Cantik Selalu Dapat Kelebihan Berbanding Orang Lain?

Pernah dengar tak istilah “Pretty Privilege”? Kalau korang aktif dekat TikTok, mesti pernah ‘terserempak’ dengan terma ini.

Pretty privilege ini adalah istilah yang digunapakai untuk menggambarkan keistimewaan diperoleh individu yang cantik atau kacak disebabkan rupa paras mereka. Individu yang memiliki wajah yang cantik dan penampilan diri yang anggun senantiasa mendapat tempat dalam masyarakat. Kehadiran mereka pantas disedari dan selalu dialu-alukan.

Kata orang, wajah cantik adalah bonus dan banyak kelebihannya. Sejak dari bangku sekolah, selalu menjadi perhatian dan ramai nak jadikan adik angkat. Jika sudah bekerja, baru sehari mendaftar diri sudah ramai yang menanti untuk datang berkenalan rapat.

Malah, di zaman serba canggih dan lambakan media sosial ini, tuah mereka yang berwajah cantik semakin ketara kelihatan. Nak jadi pempengaruh media sosial lebih mudah berbanding orang lain. 10,000 atau 100,000 pengikut, tinggal petik jari sahaja, semalaman pun dah boleh dapat.

Tak perlu cipta ‘content’ yang berat-berat pun, pandai miming lagu pun dah memadai. Muat naik di akaun media sosial masing-masing, tunggulah pasti notifikasi telefon tak berhenti berbunyi, tanda lambakan ‘like’ sedang masuk.

Betul ke pretty privilege satu kelebihan?

Bukan apa, baru-baru ini kan viral topik pretty privilege yang menjadi perbincangan hangat warga maya. Persoalannya, betul ke semua itu dan benarkah pretty privilege ini ada kelebihan sendiri?

Menurut Glamour Magazine, mereka yang memiliki wajah yang cantik atau ada pretty privilege biasanya dikatakan lebih bijak, kelakar, mesra dan mudah didampingi, mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cenderung untuk berjaya.

Dengan semua karakter dan ciri-ciri di atas, kelompok ini mempunyai kelebihan berbanding orang lain ketika memburu pekerjaan, membina jaringan perhubungan dan juga cenderung dilayan lebih baik.

Ringkasnya, pretty privilege ini adalah kunci yang membuka pintu-pintu peluang, hubungan, pilihan yang boleh kita kata, sedikit tertutup rapat untuk mereka yang tidak memilikinya.

Jadi tak hairanlah, sebahagian mereka yang ada pretty privilege ini mengambil peluang menjadi pempengaruh di media sosial. Mereka mula menghasilkan kandungan sama ada secara suka-suka atau untuk menjana pendapatan.

Namun ada setengah kandungan yang dihasilkan sangat tidak beretika. Misalnya, mencipta kandungan yang sarat dengan kontroversi. Tujuannya kerana mahu menjadi popular dan jadi sebutan warga maya.

Apabila kandungan tersebut dikongsi berulang kali dan namanya disebut-sebut, maka pasti ada jenama-jenama yang datang mendekati dan menawarkan peluang menjadi duta iklan produk masing-masing.

Manakala kandungan pengiklanan yang dibuat juga kadang-kala ada kontroversinya juga. Mencipta pelbagai persepsi dalam masyarakat yang masing-masing tampil dengan kecaman sendiri.

Tak kisah kena kecam, asalkan ‘masyuk’

Mereka dilihat seolah-olah tidak kisah dengan pandangan negatif masyarakat, asalkan kocek penuh dengan duit.

Persoalannya, boleh ke begitu? Beretikakah pencipta kandungan yang menghasilkan kandungan kontroversi tanpa berterus terang bahawa ia adalah kandungan berbayar?

Seperti yang dikatakan oleh Mediha Mahmood, Pengarah Eksekutif CMCF, melalui pandangan peribadinya di Twitter berkata, semua pencipta kandungan perlulah jujur dan mendedahkan sekiranya kandungan tersebut dibayar atau ditaja pihak-pihak tertentu.

Katanya, pencipta kandungan tidak sepatutnya hanya mendedahkan sesuatu kandungan itu berbayar apabila ia mencetuskan kontroversi dan menerima kecaman warga maya.

“Anda tidak boleh ‘mislead’ pengikut anda, kemudian menyalahkan mereka apabila mereka ‘mislead’.

“Disclosure atau Makluman adalah bagi melindungi anda dan jenama yang membayar anda,’’ katanya.

Katanya lagi, disclosure mengenai kandungan berbayar adalah amalan biasa yang diterima pakai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Jadi, wajarlah pempengaruh-pempengaruh media sosial juga mengambil pendekatan yang sama.

Di Malaysia, etika mengenai penghasilan kandungan merupakan salah satu tanggungjawab di bawah Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia atau CMCF, menerusi Content Code 2022.

CMCF ini merupakan sebuah forum industri dan badan kawal selia kendiri bebas yang berada di bawah kawal selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Disclosure, cara nak kenal puji ikhlas atau berbayar

Menurut CMCF, Disclosure adalah cara untuk warga maya mengetahui sama seseorang pengulas atau pempengaruh memuji sesuatu produk tersebut dengan ikhlas, atau dibayar untuk berbuat demikian.

Jika iklan itu ditayangkan menerusi televisyen ataupun filem, ia mudah untuk dikenalpasti. Iklan-iklan dalam medium tradisional ini biasanya disiarkan pada waktu rehat rancangan ataupun sama ada di awal atau hujung filem.

Berbeza dengan media sosial, orang awam sukar untuk mengenal pasti dimana iklan diletakkan kerana format kandungan bergantung kepada pencipta kandungan masing-masing.

Jadi, pencipta kandungan dan pempengaruh perlu ada rasa tanggungjawab untuk memaklumkan kepada pengikut-pengikut sendiri sama ada kandungan yang dicipta adalah asli atau berbayar.

Misalnya, pada hantaran di Instagram, pencipta boleh meletakkan tag ‘Paid Partneship’ pada kandungan yang dimuat naik atau boleh nyatakan pada di ruangan kapsyen. Manakala, untuk kandungan video, apa salahnya jika mereka menyatakan awal-awal di permulaan video bahawa ulasan yang dibuat adalah ulasan berbayar. Mudah je kan?

Orang Cantik Selalu Dapat Kelebihan

Ini dapat mengelakkan etika mereka sebagai seorang pempengaruh dipertikaikan oleh khalayak dan mendatangkan kecaman. Bukan apa, kecaman-kecaman yang dilemparkan boleh mendatangkan suasana tidak harmoni di media sosial.

Disclosure juga membantu pengguna untuk membuat keputusan sebelum membuat pembelian produk yang dipromosikan oleh seseorang pempengaruh. Mereka perlu tahu sama ada pujian-pujian tersebut adalah asli daripada pengalaman pempengaruh itu sendiri atau pun berdasarkan skrip yang dipersetujui antara pempengaruh dengan jenama diwakilinya.

Lagi satu, penghasil kandungan juga perlu faham, apabila mereka dibayar untuk membuat promosi atau ulasan, mereka sebenarnya dah jadi pengiklan. Bukan lagi sekadar pemberi testimoni sebagai pengguna biasa. Sebab itulah pentingnya Disclosure ini.

Walau bagaimanapun, perlu ditekankan disini bahawa Disclosure ini bukanlah semata-mata untuk mereka yang memiliki pretty privilege sahaja. Sebaliknya, tak kiralah siapapun anda, jika anda menghasilkan kandungan untuk tujuan pengiklanan, anda perlu meletakkan Disclosure dalam kandungan tersebut.

Kita tidak boleh pukul rata bahawa hanya mereka yang memiliki watak cantik sahaja akan berjaya. Di media sosial, ramai yang berdiri dan menjadi pempengaruh kerana bakat dan kreativiti, jauh mengatasi populariti mereka yang ‘naik’ kerana pretty privilege.

Pokoknya, siapa pun anda, bertanggung jawablah ketika menghasilkan kandungan kreatif. Jika ia iklan berbayar, nyatakan ia iklan berbayar supaya tiada yang merasa tertipu.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.