Siakap Keli
polis rampas rokok seludup
Kredit: Polis Terengganu via Bernama

Polis Rampas Rokok Seludup Ditinggalkan Di Atas Jalan

Polis Rampas Rokok Seludup Ditinggalkan Di Atas Jalan

KUALA TERENGGANU, 12 Feb (Bernama) — Polis merampas 3,400 karton rokok seludup pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM400,000 yang dijumpai di atas jalan di laluan pantai berhampiran sebuah sekolah di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata rokok yang diletakkan di dalam 68 kotak besar itu ditemukan sepasukan polis daripada Cawangan Siasatan Khas D9, Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu yang menjalankan ‘Op Kontraban’ di sekitar laluan pantai di belakang sekolah berkenaan pada 2 pagi.

“Apabila sampai ke kawasan tersebut, pasukan operasi telah melihat sejumlah kotak besar di atas jalan. Pemerhatian telah dibuat dari jarak 50 meter selama lebih kurang dua jam dan didapati tiada orang yang datang mengambil kotak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata pihak polis percaya sindiket yang terlibat telah menggunakan khidmat tonto untuk memerhati pergerakan pasukan operasi.

Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000.

Penjawat Awam Antara Enam Ditahan Disyaki Seludup Dadah Dalam Penjara

Sebelum ini media melaporkan polis telah menahan enam individu termasuk seorang penjawat awam disyaki terlibat penyeludupan dadah dalam penjara.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata kegiatan tersebut terbongkar selepas sepasukan anggota cawangan mahkamah di sini menjalankan pemeriksaan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) yang selesai menjalani perbicaraan, kira-kira 10.30 pagi, Khamis lepas.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas OKT tersebut menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah disembunyikan di seluar dalamnya, selain dia juga dipercayai menelan sejumlah dadah ketika berada di mahkamah.

Kamarul Zaman berkata pihak hospital berjaya mengeluarkan sebanyak enam biji balutan mampat dalam bentuk ‘barrel’ berisi dadah melalui pembedahan yang dijalankan terhadap OKT.

“Selain itu, kita turut merampas 44.74 gram ganja bernilai RM2,237, syabu seberat 28.84 gram bernilai RM2,884 serta wang tunai berjumlah RM3,800.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menelan dadah yang telah dibungkus dalam bentuk ‘barrel’ dan seterusnya dibawa masuk ke dalam penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan,” katanya.

Sumber: BERNAMA

BACA: Kastam Johor Rampas Rokok Seludup RM9.45 Juta, Rampasan Terbesar Tahun Ini

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana