Siakap Keli
Konsert NCT Dream Malaysia
Kredit: @NCTsmtown_DREAM/Twitter

Konsert Jelajah Dunia NCT Dream Di Malaysia Mei Ini

Konsert Jelajah Dunia NCT Dream Di Malaysia Mei Ini

Kumpulan K-Pop terkenal, NCT Dream mengumumkan bahawa mereka bakal mengadakan konsert jelajah “The Dream Show 2: In A Dream” di Kuala Lumpur, 20 Mei ini.

Berita gembira buat peminat tempatan itu diumumkan menerusi satu hantaran di laman Twitter mereka hari ini.

Menerusi hantaran tersebut, NCT Dream menyeneraikan lokasi-lokasi konsert di kota-kota besar seluruh dunia antaranya di Osaka, Jepun dan juga di Dallas, Amerika Syarikat,

Di Asia Tenggara, kumpulan yang dianggota tujuh pemuda tampan itu akan membuat persembahan di Jakarta, Indonesia pada 4 hingga 6 Mac ini.

Konsert NCT Dream selain di Kuala Lumpur, Malaysia

Seterusnya, mereka akan bertemu peminat mereka di Bangkok, Thailand pada 10 hingga 12 Mac. Kemudian, pada 29 dan 30 April pula, mereka akan terbang ke Manila untuk bertemu dengan peminat di sana.

Sebelum ke Malaysia, NCT Dream akan mengadakan konsert terlebih dahulu di Singapura pada 1 Mei.

Antara lokasi lain yang tersenarai adalah London, Paris, Berlin, Newark, Chicago, Atlanta, Houston, Boston, Los Angeles dan Seattle.

Konsert bermula tahun lepas

Untuk pengetahuan peminat, NCT Dream memulakan konsert jelajah mereka pada September tahun lalu di Seoul, Korea Selatan. Jelajah kemudian diteruskan ke negara jiran untuk bertemu dengan peminat-peminat di Nagoya, Yokohama dan Fukuoka pada tahun yang sama.

NCT Dream merupakan sebuah kumpulan K-Pop Korea Selatan yang dianggotai oleh Jeno, Mark, Renjun, Haechan, Jaemin, Chenle dan Jisung. Mereka merupakan kumpulan yang berada di bawah syarikat rakaman SM Entertainmet.

Antara lagu NCT Dream yang mendapat perhatian ramai adalah Hot Sauce, Beatbox, Hello Future, Candy, BOOM dan banyak lagi.

Terdahulu, Malaysia menjadi antara destinasi utama jelajah konsert oleh artis-artis terkemuka di seluruh dunia. Selain band-band dan penyanyi tempatan, pemuzik-pemuzik dari negara jiran, Indonesia turut tidak melepaskan peluang mengadakan persembahan disini.

Antara nama-nama besar negara seberang yang mengadakan konsert di Kuala Lumpur baru-baru ini adalah Dewa 19 dan Kris Dayanti.

Manakala, di peringkat antarabangsa pula, Billie Eilish pernah singgah di negara ini pada Ogos tahun lepas dan konsert Blackpink pula akan berlangsung pada Mac ini.

BACA: Malaysia Tidak Akan Alami Kemelesetan Tahun Ini – BNM

Sumber: Soompi

Shafikah