Siakap Keli
Rumah Singapura Tempat Perlindungan Bom
Kredit: Mothership/Youtube

Kenapa Rumah Singapura Ada Tempat Perlindungan Bom?

Kenapa Rumah Singapura Ada Tempat Perlindungan Bom?

Jika anda tinggal di Singapura, anda mungkin menyedari bahawa ada sesetengah rumah atau kawasan kediaman mempunyai tempat perlindungan bom.

Anda tidak salah kerana ruang berkenaan memang menjadi keperluan bagi setiap rumah atau kediaman yang dibina di negara itu selepas 1997.

Ini kerana pada tahun berkenaan, Akta Tempat Perlindungan Pertahanan Awam menetapkan setiap rumah dan juga flat yang baru dibina perlu mempunyai tempat perlindungan bom. Tempat perlindungan itu pula terletak sama ada di dalam kediaman atau di tempat awam yang boleh diakses penduduk.

Mengikut sejarah, akta berkenaan diperkenal selepas mengkaji situasi yang dihadapi oleh negara-negara yang terlibat dalam peperangan teluk pada 1991. Ketika itu, Angkatan Pertahanan Awam Singapura menyedari betapa cepatnya keadaan kacau-bilau boleh merebak dan keperluan untuk menyediakan tempat perlindungan kepada orang awam adalah mendesak dalam tempoh berkenaan.

Sebab lain ia diwajibkan

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Wong Kan Seng dalam satu sidang Parlimen berkata, akta berkenaan akan memberikan jaminan pelindungan kepada semua warga Singapura daripada sebarang kemungkinan.

Ia juga sebagai jaminan psikologi kepada anggota tentera bahawa anggota keluarga mereka selamat dan dilindungi apabila mereka dikerah ke barisan hadapan.

Selain itu, tempat perlindungan bom dalam rumah pula membenarkan mereka yang tidak berkemampuan, terutama warga emas mencari tempat perlindungan lebih cepat.

Singapura bukan satu-satunya…

Setakat ini, Singapura bukan satu-satunya negara yang mempunyai undang-undang sedemikian. Selain Israel, Switzerland juga mengenakan syarat untuk setiap bangunan kediaman dan pangsapuri mempunyai tempat perlindungan bom.

Tempat perlindungan bom juga perlu menepati beberapa syarat khusus seperti kedap udara dan mempunyai siling, dinding dan lantai yang diperkuat dengan ketebalan yang ditetapkan.

Selain itu, ia juga perlu dilengkapkan dengan saluran pengudaraan dan pintu kalis letupan. Namun sesetengah kediaman menyediakan kemudahan asas penginapan dan komunikasi yang lengkap dengan sistem elektrik dan komunikasi dalam keluli.

Bukan itu sahaja, rakyat mereka juga dibenarkan secara sah untuk menggunakan tempat perlindungan bom untuk tujuan lain ketika masa aman dan menghias bilik perlindungan mereka dengan kreatif.

Tujuan utama tempat perlindungan bom

Seterusnya, tujuan utama rumah perlindungan juga adalah untuk melindungi penghuni daripada serpihan letupan semasa pengeboman. Serpihan berterbangan dan serpihan kaca biasanya menjadi punca kematian dan kecederaan utama kebanyakan mangsa dalam insiden letupan bom.

Walau bagaimanapun, tahap perlindungan bergantung kepada faktor lain seperti kawasan dan saiz impak. Misalnya, pada tahun 1998, Kementerian Pertahanan Singapura telah menjalankan ujian letupan bagi menguji kekuatan tempat perlindungan bom di Pulau Senang.

Dalam ujian yang menggunakan bom seberat lebih 100 kilogram, mereka mendapati letupan mampu menyebabkan lubang selebar 3 meter pada bahagian yang terdedah. Tetapi tiada kesan ketara pada bahagian yang tertanam.

Menurut dapatan kajian itu, hanya bahagian tempat dimana bom mendarat sahaja akan runtuh. Jadi dalam insiden pengeboman, tempat-tempat perlindungan yang ditanam atau berada di dalam rumah mampu bertahan biarpun kawasan di sekeliling musnah. Manakala penghuni yang terperangkap boleh dibawa keluar menggunakan peralatan khas.

Hari ini terdapat sejumlah 54 stesen MRT dibina untuk berfungsi sebagai tempat perlindungan awam semasa kecemasan perang. Tempat perlindungan bom juga boleh ditemui di 19 Pusat Komuniti yang terdapat sekitar negara pulau itu. Kemudahan berkenaan biasanya digunakan untuk tujuan lain ketika di luar waktu perang, antaranya dijadikan sebagai pusat tuisyen.

BACA: Pemilik Chelsea Di Paris, Cuba Beli Neymar Dari PSG?

Sumber: Mothership

Shafikah