Siakap Keli
kes bunuh lima lelaki
Kredit: Bernama

Keputusan Kes Bunuh Libat Lima Lelaki Ditangguh Ke 22 Mac

Keputusan Kes Bunuh Libat Lima Lelaki Ditangguh Ke 22 Mac

IPOH, 16 Feb (Bernama) — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan keputusan kes lima lelaki yang didakwa membunuh seorang lelaki pada lima tahun lepas, ke 22 Mac ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Su Tiang Joo menetapkan tarikh baharu itu selepas peguam Charan Singh memohon untuk membuat representasi bagi kesemua anak guamnya kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya keterangan-keterangan yang dikemukakan dikaji semula.

“Memandangkan pertuduhan dihadapi semua OKT (Orang Kena Tuduh) amat serius, mahkamah membenarkan satu penangguhan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Saifulakmal Mod Said memaklumkan tiada bantahan berhubung permohonan pihak pembelaan daripada pihak pendakwaan dan satu nota taklimat AGC akan disediakan berkenaan representasi.

C. Kartik Krishnan, 24, V. Sivabalan, 24, J. Jaya Ganesh, 25, A. Arjun, 26, dan C. Sathis, 29, didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh Chung Thian Keong yang berusia 54 tahun ketika itu.

Kesalahan itu dilakukan di tepi sungai berhampiran Kampung Baru Chenderong, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah antara kira-kira 7 malam 17 Mei 2018 hingga kira-kira 7 pagi 18 Mei 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes bunuh bekas pegawai tinggi polis Indonesia dijatuhi hukuman mati

Sebelum ini, media melaporkan bekas ketua hal ehwal pasukan polis Indonesia dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah merancang pembunuhan pengawal peribadinya pada 8 Julai tahun lalu.

Tertuduh, 50, juga didapati bersalah kerana menghalang keadilan dengan mengarahkan supaya rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipadamkan, kata ketua panel hakim Wahyu Iman Santoso.

Beliau berkata bekas jeneral itu didapati bersalah dan mahkamah mendapati tindakannya telah mencemarkan imej pasukan polis.

Tindakan tertuduh telah menimbulkan kerisauan dalam kalangan masyarakat awam dan sebagai pegawai penguatkuasa undang-undang dia tidak sepatutnya bertindak sedemikian, kata Wahyu dalam penghakiman yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan.

Mahkamah Daerah Jakarta Selatan juga menolak hujah pembelaan bahawa pengawal peribadi Nofriansyah Yosua Hutabarat telah melakukan gangguan seksual terhadap isteri tertuduh, berikutan kekurangan bukti.

Sumber: BERNAMA

BACA: Intip Wanita Sejak 2019 Sebelum Membunuhnya Dalam Tandas Bawah Tanah

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.