Siakap Keli
suami bakar isteri leka main phone
Kredit: Tribun Tangerang

Geram Asyik Leka Main ‘Phone’, Suami Buat Cubaan Membunuh Bakar Isteri

Seorang lelaki dilapor tekad melakukan percubaan membunuh isterinya sendiri gara-gara wanita itu asyik leka bermain handphone dalam kejadian di Bogor baru-baru ini, lapor Tribun Banten.

Jurucakap polis, Inspektor Sutopo Pranolo yang mengesahkan tragedi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa isterinya sedang bermain peranti berkenaan di bilik tidur mereka.

“Isteri suspek (ketika itu) sedang berada di dalam bilik semasa percubaan untuk membakarnya berlaku,” kata Sutopo dalam kenyataan.

Difahamkan, segalanya bermula apabila mangsa ketika itu sedang baring di bilik tidur mereka sambil bermain telefon pintarnya.

Bagaimanapun, suspek pergi ke arah mangsa dan mencurahkan minyak tanah sebelum bertindak membakar bilik tidur mereka.

Kredit: Tribun Tangerang

Namun begitu, kejadian ‘luar biasa’ tersebut berjaya dihidu oleh salah seorang daripada jiran tetangganya yang menyedari kelibat suspek dalam keadaan mencurigakan.

“Jirannya merasa curiga apabila melihat suspek membawa pulang tiga botol yang berisi minyak tanah,” katanya.

Sutupo menambah, ketika jiran tersebut mengekori suspek, barulah dia tahu bahawa minyak tanah yang dibawa pulang ke rumah oleh suspek terbabit adalah bertujuan membakar bilik yang sedang diduduki mangsa.

“Mangsa dapat diselamatkan setelah mendapat pertolongan daripada jiran tetangga. Seterusnya, dia dikejarkan ke klinik terdekat” jelasnya seperti yang dilapor Tribun Banten.

Rentetan daripada insiden tragis tersebut, mangsa difahamkan mengalami luka pada kaki kirinya iaitu berdekatan dengan kawasan betisnya.

Sementara itu, tambah Sutopo, suspek turut ditahan polis dan berjaya ditenangkan di Balai Komando Polis untuk pemeriksaan lanjut.

“Berkenaan motif kejadian, perkara tersebut masih dalam siasatan. Sementara itu, tertuduh merasa kesal akan tindakan isterinya yang asyik bermain telefon pintar di biliknya,”  tambah Sutopo.

Suami bakar isteri asyik tonton video lucah

Keratan laporan terdahulu

Imbas kembali, pernah juga berlaku satu kes hampir serupa melibatkan kejadian suami bakar isteri gara-gara wanita itu ‘terkantoi’ menonton video lucah dalam kejadian di Indonesia tiga hari lepas.

Memetik semula laporan sebelum ini, seorang lelaki tekad membakar isteri dan anaknya selepas dua beranak itu ‘ditangkap’ ketika sedang menonton video lucah di telefon bimbit.

Kejadian yang berlaku di daerah Sidoarjo Jawa Timur itu didedahkan oleh Ketua Polis Sidoarjo Wahyu Bintoro dalam hantaran di akaun media sosial rasmi @polresta_sidoarjo.

Insiden yang berlaku itu bermula selepas suami wanita tersebut dikatakan terlalu beremosi dan telah bertindak menyimbah petrol ke isterinya sebelum menyalakan pemetik api.

“Isterinya didapati sedang menonton video lucah di telefon bimbitnya, lalu suaminya akibat terlalu beremosi bertindak mencurah petrol ke atas isterinya dan kemudian menyalakannya dengan pemetik api.

“Ini menyebabkan isteri dan anaknya yang berhampiran di tempat kejadian melecur,” katanya ketika itu.

BACA JUGA: Isteri Kantoi Tengok Video Lucah, Suami Tekad Bakar Isteri & Anak Sampai Melecur

Sumber: Tribun Banten

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma