Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Rupanya Sebab Ini Tumbler Asyik 'Berlendir' Walaupun Isi Air Kosong

tumbler
Kredit: ChatGPT

Pernah tak masa nak isi semula air, jari tersentuh bahagian dalam penutup dan bekas tumbler, terasa licin macam berlendir?

Iklan

Mula-mula ingat sebab masih basah. Tapi bila dibilas, rasa licin itu masih ada.

Pelik juga, sebab selama ini cuma isi air kosong. Tak pernah pun guna tumbler itu untuk minum kopi atau air manis.

Pernah tak anda fikir macam mana benda ini berlaku?

Sebab tumbler berlendir

Menurut Pusat Kawasan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), lapisan licin itu dikenali sebagai biofilem.

Ia terbentuk apabila mikroorganisma seperti bakteria melekat pada permukaan dan menghasilkan lapisan berlendir di sekelilingnya.

Setiap kali minum, bakteria boleh berpindah ke tumbler

Menurut doktor penjagaan primer di Cleveland Clinic, Dr Marianne Sumego, bakteria boleh berpindah ke botol apabila mulut menyentuh muncung tumbler atau tangan memegang straw.

Keadaan lembap pula menggalakkan pertumbuhan bakteria dan kulat.

Celah penutup, bahagian dalam straw dan ruang di bawah gelang silikon mudah terlepas pandang ketika mencuci, terutama kalau kita cuma bilas bahagian dalam botol sebelum isi air semula.

Dalam satu kajian kecil oleh penyelidik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), 46 peratus daripada 37 sampel air yang diambil daripada botol guna semula pelajar perubatan didapati positif untuk bakteria koliform.

Kajian itu diterbitkan dalam Journal of Environmental Health pada Oktober 2025.

Macam mana nak hilangkan?

Sebenarnya, bilas dengan air saja tidak mencukupi.

Sekiranya tumbler dah terasa berlendir, kosongkan dan sental bahagian dalamnya dengan sabun pencuci pinggan dan berus botol.

Kemudian, cuci sekali muncung dan penutup. Kalau boleh gelang silikon (getah) ditanggalkan supaya bahagian bawahnya boleh dicuci.

Untuk straw, gunakan berus kecil yang boleh sampai ke bahagian dalam.

Selepas dibilas, biarkan semua bahagian kering sepenuhnya sebelum dipasang semula. Kalau tumbler itu dah jadi teman setia kita dari pagi sampai petang dan selalu diisi semula, cuba biasakan cuci setiap hari, walaupun isinya cuma air kosong.

Intipati
  • Lapisan licin pada tumbler dikenali sebagai biofilem, terbentuk daripada mikroorganisma seperti bakteria.
  • Bakteria boleh berpindah melalui mulut atau tangan, terutama pada muncung dan straw.
  • Tumbler perlu dicuci dengan sabun, berus sesuai dan dikeringkan sepenuhnya setiap hari.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan