Pisang Goreng Dinobat Manisan Bergoreng Terbaik Di Dunia
Hidangan generik yang sering disajikan pada waktu minum petang, pisang goreng telah dinobatkan sebagai hidangan manisan bergoreng terbaik di dunia.
Anugerah berkenaan diberikan oleh Taste Atlas melalui satu senarai yang mengumpul manisan bergoreng terbaik di dunia, baru-baru ini.
Pisang goreng yang diletakkan di bawah bendera Indonesia dipilih sebagai peneraju ranking tersebut. Malangnya, tiada hidangan manisan dari Malaysia yang tersenarai dalam senarai ini. Pisang goreng Indonesia mengumpul sebanyak 4.60 mata untuk dinobat sebagai manisa bergoreng terbaik.
Ia berjaya mengalahkan beberapa pesaing dari seluruh dunia seperti quarkbällchen (Jerman), pastelitos criollos (Argentina) dan fouskakia (Greek).
Lebih mengejutkan, pisang goreng kebanggaan negara jiran ini turut mengalahkan beberapa manisan antarabangsa yang bersifat lebih mainstream seperti bomboloni (Itali), churros (Sepanyol) dan donat (Amerika Syarikat).
Melalui senarai ini, ia membuktikan bahawa hidangan tempatan turut memiliki potensi yang besar untuk bersaing secara kompetitif bersama juadah lain.
Untuk makluman, pisang goreng merupakan sejenis manisan yang berasal dari pisang yang belum ranum secara sepenuhnya.
Pisang tersebut akan disalutkan dengan campuran bater, terdiri daripada bahan asas seperti tepung gandum, air dan garam.
Ada sesetengah yang turut meletakkan soda bikarbonat untuk meningkatkan kerangupan hidang tersebut.
Pisang yang disalutkan bater itu akan digoreng dalam minyak panas selama beberapa minit sehingga bahagian luarnya bertukar menjadi warna kuning keemasan.
Hidangan ini sering disajikan sewaktu minum petang, ditemani dengan minuman panas seperti teh O ataupun kopi O.
Pisang goreng memiliki rasa yang unik iaitu kemanisan yang asli daripada buah pisang itu sendiri serta rasa rangup dan sedikit masin daripada bater.
Di Malaysia, pisang goreng biasanya ditampilkan sekali bersama sambal kicap untuk memberikan sedikit rasa pedas terhadapnya.
Pada masa kini, hidangan bergoreng ini telah menerima pelbagai inovasi seiring dengan peredaran masa dan perubahan citarasa penduduk setempat.
Kita dapat melihat unsur-unsur modenisasi seperti variasi topping mula diperkenalkan seperti keju, coklat, teh hijau dan sebagainya.
BACA: Roti Canai Malaysia Ranking No. 1, Dipilih Makanan Jalanan Paling Sedap Di Dunia
Sumber: Taste Atlas via Facebook