Pengsan Tiga Kali, Penyanyi Ibnor Riza Ditidurkan
Isteri kepada penyanyi, Ibnor Riza Ibrahim, Sarimah Sulaiman mengesahkan suaminya itu kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan ditidurkan selepas pengsan sebanyak tiga kali di rumah, lapor Awani.
Difahamkan, Ibnor kini ditempatkan di Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan dan Sarimah meminta orang ramai untuk mendoakan kesembuhan suaminya.
Ujar Sarimah, suaminya pengsan sebanyak tiga kali bermula jam 10.30 pagi tadi.
“Saya baru sampai rumah…belum sempat melawat kerana dia baru sahaja ditidurkan.
“Suami saya pitam ketika di rumah. Kemudian saya menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke hospital selepas itu.
“Bila tiba di hospital, dia pengsan tiga kali bermula jam 10.30 pagi kemudian selang 10 minit kemudian, dia pengsan semula,” tambahnya.
Sarimah berkata demikian selepas ditemu bual Astro AWANI pada hari ini.
Ibnor Riza baru keluar hospital dua hari lalu
Dua hari lalu, penyanyi berusia 62 tahun itu baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja’afar Seremban selepas menerima rawatn di sana, menurut Sarimah.
Dalam pada itu, anak perempuan Ibnor, Putri Norizah turut berkongsi berita semasa mengenai keadaan bapanya.

“Mohon jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah saya, Ibnor Riza Ibrahim yang kini baru saja ditidurkan.
“Ya Allah, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau zat yang maha menyembuhkan.
“Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain,” katanya.
BACA: Ali XPDC ‘Ditidurkan’ Sementara
Rakan artis kongsi situasi Ibnor Riza
Sebelum ini, penyanyi Haiza yang merupakan rakan kepada Ibnor memaklumkan bahawa penyanyi era 80-an itu tidak boleh bercakap.
“Mula-mula dia tak boleh bercakap. Kemudian di leher macam ada bengkak,” ujarnya, memetik AWANI.
Media turut melaporkan, pertengahan Januari lalu, Ibnor dimasukkan ke dalam Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan mengalami sesak nafas.
Dia turut dilaporkan mengalami rasa mahu pitam, tiada selera makan, tekanan darah rendah dan beberapa gejala yang lain.
Sumber: Awani
BACA: Ainul Ditidurkan, Saya Redha, Dah Halalkan Anak Saya – Bapa Ainul