Siakap Keli
hukum al-quran bawah bantal
Gambar: Bernama

Apa Hukum Letak Al-Quran Bawah Bantal? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Apa Hukum Letak Al-Quran Bawah Bantal? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Al-Quran merupakan kitab suci bagi penganut agama Islam yang diturunkan melalui Nabi Muhammad S.A.W. Dalam kitab ini, mengandungi 114 surah serta 30 juzuk.

Ayat-ayat Al-Quran merupakan satu wacana yang unik dan penuh hikmah kerana merupakan kata-kata dari Allah S.W.T. Oleh sebab itu, kita wajarlah menjaga kesucian kitab ini dengan meletakkannya di tempat yang bersih dan tinggi.

Namun, ada juga sebahagian masyarakat yang meletakkannya di bawah bantal ketika tidur. Mereka berbuat demikian kononnya dapat menghalang makhluk halus daripada menganggunya ketika tidur.

Tindakan ini kelihatan agak kontradik dengan adab terhadap kitab suci tersebut. Bagi menjawab keraguan ini, pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah menjawab persoalan berkenaan secara komprehensif.

Berikut merupakan jawapannya:

Soalan:

Apakah hukum tidur beralaskan mushaf al-Quran, atau meletakkan mushaf dan naskhah Surah Yasin di bawah bantal seperti yang diamalkan oleh sebahagian masyarakat?

Ringkasan Jawapan

Haram hukumnya tidur beralaskan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran dan kitab-kitab agama, atau meletakkannya di bawah bantal. Hal ini kerana perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai merendah-rendahkan martabat al-Quran dan ilmu agama.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Para ulama telah bersepakat ke atas haramnya perbuatan meremehkan dan menghina al-Quran, serta wajibnya memuliakan dan memelihara mushaf, seperti yang disebut dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

Antara perbuatan yang boleh dikira sebagai perendahan terhadap kemuliaan al-Quran ialah menjadikannya sebagai alas kepala ketika tidur:

وَيَحْرُمُ تَوَسُّدُه: أي المصحف أي جَعْلُهُ وِسادة وَهِيَ المِخَدَّة التي تُوضَعُ تَحْتَ الرأْسِ، لأن في تَوَسُّدِهِ تَحقيرا وإهانَة

Maksudnya: Diharamkan daripada berbantalkan mashaf: iaitu menjadikan mashaf itu sebagai bantal dan diletakkan di bawah kepala, ini kerana perbuatan berbantalkan mushaf itu merupakan satu bentuk merendah-rendahkan dan penghinaan.

Selain itu, diharamkan juga menjadikan kitab-kitab agama sebagai bantal atau alas kepala ketika tidur, seperti yang disebut oleh para ulama mazhab Syafie:

وَيَحْرُمُ ‌تَوَسُّدُ مُصْحَفٍ وَغَيْرِهِ مِنْ كُتُبِ الْعِلْمِ قَالَ الْقَاضِي: إلَّا أَنْ يَخَافَ سَرِقَتَهُ

Maksudnya: Diharamkan menjadikan mushaf dan kitab-kitab agama sebagai bantal. Kata al-Qadhi Husain: Pengecualian diberikan jika dia takut kitab atau mushaf itu dicuri.

Ibn Muflih al-Hanbali pula menukilkan kalam daripada Ibn ‘Abd al-Qawiy dalam Majma‘ al-Bahrain, bahawa diharamkan juga tidur berbantalkan kitab-kitab hadis dan buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran.

Justeru, berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, adalah diharamkan untuk menjadikan mushaf al-Quran, naskhah surah Yasin atau apa-apa surah daripada al-Quran, buku-buku yang terkandung dalamnya ayat al-Quran dan juga kitab-kitab agama sebagai bantal ketika tidur atau meletakkannya di bawah bantal walaupun bagi tujuan untuk menghindari daripada gangguan jin dan sebagainya.

Disarankan juga untuk membaca ayat-ayat suci al-Quran seperti Ayatul Kursi dan membaca zikir-zikir dan doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW bagi tujuan mengelakkan gangguan jin serta syaitan.

Wallahu a‘lam.

BACA: Runner Baca Quran Sambil Tunggu Order, Abang Ni Nak Belanja Buka Puasa Sebulan

Sumber: Pejabat Mufti WP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma