Siakap Keli
wan saiful letak jawatan
Gambar: Bernama

Wan Saiful Umum Hasrat Letak Jawatan Ketua Penerangan Bersatu

Wan Saiful Umum Hasrat Letak Jawatan Ketua Penerangan Bersatu

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) — Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan mengumumkan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Penerangan Bersatu susulan pendakwaan terhadapnya di mahkamah semalam atas pertuduhan rasuah.

Wan Saiful berkata hasratnya itu sudah dimaklumkan kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Setiausaha Agung Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan terpulang kepada pimpinan parti itu untuk membuat keputusan mengenainya.

“Keputusan ini adalah sesuai dengan prinsip integriti dan semangat perjuangan yang saya junjung selama ini.

“Jawatan Ketua Penerangan adalah jawatan eksekutif dalam parti. Maka saya lepaskan jawatan ini kerana inilah juga pegangan yang saya yakini selama ini sehinggalah saya dapat membersihkan nama saya melalui proses perundangan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

BACA JUGA: Projek Jana Wibawa: Wan Saiful, Ahli Perniagaan Dihadap Ke Mahkamah

Namun begitu Wan Saiful menjelaskan beliau masih memegang jawatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Wan Saiful berkata beliau turut tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan namanya dengan menyamakan beliau dengan individu lain yang terlibat dengan pertuduhan di mahkamah.

Semalam, Wan Saiful mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.9 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?