Filipina: Empat Mayat Ditemukan Di Lokasi Pesawat Ringan Terhempas Berhampiran Gunung Berapi
MANILA, 23 Feb (Bernama) — Pasukan penyelamat menemukan empat mayat daripada bangkai pesawat ringan yang terhempas berhampiran kawah gunung berapi di tenggara Manila enam hari lalu, kata seorang pegawai tempatan pada Khamis.
Pesawat Cessna 340A itu dalam perjalanan menuju ke Manila dan terhempas beberapa minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol di bandar Daraga.
Datuk Bandar Camalig, Caloy Baldo berkata usaha untuk membawa turun mayat juruterbang dan anak kapal serta dua jurutera itu mungkin mengambil masa memandangkan keadaan bentuk muka bumi yang cerun, lapor Xinhua.
BACA JUGA: Malaysia Duduki Tempat Ke-3 Dalam Senarai Negara Penyumbang Utama Pencemaran Plastik Di Lautan
Beliau berkata mayat ditemukan kira-kira 350 meter dari kawah gunung berapi Mt Mayon yang terletak di wilayah Albay.
Lokasi nahas berada dalam zon bahaya dan tiada orang dibenarkan berada di kawasan itu atau sebarang pesawat boleh terbang, katanya.
Nahas di Albay itu adalah yang kedua dalam tempoh hampir sebulan. Sebelum ini, sebuah pesawat Cessna yang membawa enam orang termasuk juruterbang dan lima penumpang hilang sejurus berlepas dari wilayah Isabela di utara Filipina pada 24 Jan. Pesawat itu masih belum dapat dikesan sehingga kini.
Sumber: BERNAMA