Siakap Keli
belanjawan 2023 malaysia madani
Kredit: Bernama

Belanjawan 2023, Progresif Ke Arah Pembangunan Malaysia Madani

Belanjawan 2023, Progresif Ke Arah Pembangunan Malaysia Madani

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) — Usaha kerajaan memperkasakan kesejahteraan rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi ketika ini diterjemah menerusi pelbagai inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023 yang turut menjadi teras penting dalam membangunkan Malaysia MADANI.

Anggota Jemaah Menteri berharap segala cadangan dan aspirasi berhubung pembangunan yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, dapat dilaksanakan secara total dan telus dengan kerjasama semua kementerian dan agensi serta pihak yang berkaitan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dalam kenyataan, berkata Belanjawan 2023 dilihat memberi tumpuan dalam memperkasakan kesejahteraan kanak-kanak dan kerjaya wanita.

“Bagi pihak kementerian, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sokongan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan cadangan kami untuk mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak.

“Dengan pengumuman ini, kementerian bersedia untuk bekerjasama rapat dengan agensi-agensi pusat seperti Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memperincikan jabatan ini secepat mungkin,” katanya.

Di samping itu, katanya kementerianya turut berbesar hati atas pengumuman penubuhan sebuah unit khas di bawah Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bersedia membantu pihak polis demi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Pihaknya turut mengalu-alukan inisiatif di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak.

Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata pembentangan Belanjawan 2023 itu diharapkan dapat mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan dan pintu masuk ke rantau Asia.

“Insya-Allah, saya dan seluruh pasukan MITI akan berusaha keras bagi memastikan segala agenda dan perancangan yang direncana ini dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula, berkata kementeriannya akan mengimbangi tumpuan di antara penstrukturan ekonomi dengan keperluan rakyat berhubung kos sara hidup dan gaji yang berpadanan menerusi peruntukan sebanyak RM750 juta untuk Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

BACA: Kerajaan Komited Pastikan Kelangsungan Hidup Rakyat – Anwar

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma