Ikon Fesyen, Pempengaruh: Siapa Sebenarnya Abby Choi?
Lebih kurang dua minggu lalu, majalah fesyen dan gaya hidup mewah, L’Officiel Monaco telah menyiarkan wajah model anggun jelita, Abby Choi.
Namun, menjelang hari Selasa, model yang berusia 28 tahun itu telah dilaporkan hilang.
Susulan itu, pihak polis menjalankan operasi mencarinya dan menjumpai mayatnya di sebuah rumah di Tai Po, pinggir bandar di Hong Kong.
Lebih tragis, mayatnya dijumpai dalam keadaan telah dipotong. Menurut laporan, kepala dan tulang rusuknya telah dijumpai di dalam periuk sup, kakinya di dalam peti sejuk sementara anggota badan seperti tangan dan tubuhnya yang lain masih tidak ditemui.
Baca juga: Kepala Dipercayai Milik Abby Choi Ditemui Dalam Periuk Sup
Tidak dapat dibayangkan bagaimana seorang manusia sanggup memperlakukan manusia yang lain seperti itu.
Bahkan, kesemua suspek yang ditahan dipercayai mempunyai hubungan khusus dengan mangsa. Entah bagaimana perasaan keluarga mangsa mendengar khabar anaknya mati dalam keadaan sebegitu rupa.
Dalam mengikuti perkembangan terkini kes tersebut, adakah anda tahu siapa sebenarnya pemilik nama Abby Choi yang mampu menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa ini?
Jadi, dalam perkongsian ini, mari kita selidiki serba sedikit mengenai latar belakang Abby Choi.
Berasal dari keluarga yang bukan calang-calang, malah dirinya sendiri sudah mampu memberikan kemewahan yang cukup untuk diri serta anaknya.

Memetik The Straits Times, Abby dilahirkan dan dibesarkan di Hong Kong dan berasal dari keluarga yang mempunyai empayar perniagaan di China.
Pendapatan bersih mencecah RM77 juta
Lebih mengejutkan pendapatannya secara bersih dianggarkan boleh mencecah sekitar RM 77 juta (HK$100 juta).
Dia turut mempunyai dua orang anak dengan bekas suaminya. Namun bila mereka berpisah tidak dapat dipastikan.
Pada tahun 2016, Abby difahamkan telah berkahwin dengan Tam Chuk Kwan tetapi tidak mendaftarkan perkahwinan itu secara sah. Hasil daripada perkongsian hidup selama beberapa tahun, mereka juga dikurniakan dua orang anak.
Menurut The Straits Times, bapa mentuanya merupakan seorang pengasas rangkaian restoran makanan segera di Hong Kong yang beroperasi di tanah besar China.

Abby juga sangat rapat dengan Moka Fang iaitu isteri kepada penyanyi dan pelakon terkenal Hong Kong, Aaron Kwok.
Difahamkan, mereka sering menghabiskan waktu bersama seperti membeli-belah, melancong dan menghadiri parti.
Kerjaya Abby
Dalam bidang kerjaya, Abby Choi menempa nama sebagai ikon fesyen dan personaliti media serta pempengaruh yang terkenal dalam industri seni.
Malah dengan gaya dan kebolehan memadankan fesyen dengan gaya terkini telah menaikkan lagi namanya bukan hanya di Hong Kong tetapi juga di seluruh dunia.
Justeru, tidak hairanlah, Abby Choi mempunyai jumlah pengikut yang ramai di Instagram miliknya iaitu lebih kurang 84,000 orang.
Peserta tetap Minggu Fesyen Paris
Bukan itu sahaja, dia juga menjadi peserta tetap Minggu Fesyen Paris malah telah dipaparkan dalam banyak majalah terkenal seperti Elle, Vogue dan Harper’s Bazaar.
Malah, dia dikatakan telah berjumpa dengan ramai peminat fesyen yang lain seperti penyanyi rap dan penerbit Pharrel Williams.
Dalam temu bual dengan L’Officiel Monaco yang diterbitkan awal bulan ini, Abby sempat berkata, “Saya seorang yang sentiasa mencari inspirasi dan mencuba gaya-gaya baharu. Kadang-kadang, saya juga berpakaian lebih mewah dengan mencampur dan menggabungkan rupa yang berbeza.”
Sumber: The Straits Times