Siakap Keli
jps keluar amaran banjir
Gambar: Bernama

JPS Keluar Amaran Banjir Di Kluang, Kota Tinggi, Kulai Dan Johor Bahru

JPS Keluar Amaran Banjir Di Kluang, Kota Tinggi, Kulai Dan Johor Bahru

JOHOR BAHRU, 28 Feb (Bernama) — Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir melibatkan empat daerah di Johor, bermula tengah malam ini.

Menerusi amaran banjir dikeluarkan PRABN JPS pada 12.30 tengah hari ini, jabatan berkenaan memaklumkan ramalan itu susulan amaran hujan berterusan (waspada) oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) pada 12.15 tengah malam tadi dan hasil simulasi model ramalan banjir.

Notis itu menyatakan bencana itu diramalkan boleh berlaku lebih awal atau pun lewat dari masa yang dijangkakan.

“Di Johor Bahru, kawasan berisiko terjejas ialah Jalan Sungai Tiram, Kampung Kangkar Sungai Tiram dan kawasan sekitarnya, manakala bagi daerah Kluang pula di Kampung Mengkibol, Kampung Baharu, Sungai Kahang di Batu 26 Jalan Kluang, Pekan Layang-Layang, Kampung Orang Asli Sedohok dan kawasan sekitarnya,” menurut kenyataan itu.

BACA JUGA: Amaran Banjir Di Rompin Mulai Esok

Manakala di daerah Kota Tinggi, meliputi Kampung Semanggar dan Kampung Sungai Telor serta kawasan sekitarnya sementara di Kulai pula, kawasan berisiko ialah Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan kawasan sekitarnya.

“Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk terutamanya di kawasan dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” menurut kenyataan JPS itu lagi.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

Sumber: BERNAMA 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?