Siakap Keli
singapura fail albatross
Kredit: TODAY

Bukan Lagi Rahsia, Singapura Buka Akses Untuk ‘Fail Albatross’

Bukan Lagi Rahsia Sulit, Singapura Buka Akses Untuk “Fail Albatross”

Singapura dilapor bersetuju mengubah status rahsia dan mendedahkan dokumen dikenali sebagai “Fail Albatross” milik mendiang Dr. Goh Keng Swee.

Mendiang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura dari 1973 sehingga 1985. Beliau dianggap sebagai salah seorang pengasas negara tersebut.

Fail Albatross mengandungi dokumen-dokumen mengenai perbincangan antara Singapura dan Malaysia menjelang pemisahan kedua-dua negara pada 1965.

Menurut Today Online, dokumen berkenaan sekian lama diklafikasikan sebagai rahsia tertinggi negara berkenaan. Ia dianggap sebagai dokumen terpenting berkenaan sejarah penubuhan Singapura.

Selain itu, ia juga merekodkan perbincangan rahsia top-level antara pemimpin kedua-dua negara dalam minggu-minggu akhir menjelang pemisahan.

Beberapa bahagian dokumen dalam fail berkenaan sebelum ini didedahkan kepada umum menerusi beberapa penerbitan bahan sejarah negara itu. Antaranya adalah maklumat yang dimuatkan dalam buku The Singapore Story. Buku berkenaan adalah sebahagian daripada memoir berkenaan mendiang Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Fail Albatross turut mendedahkan fakta yang bertentangan dengan pendapat popular yang mengatakan Singapura ditendang keluar dari Malaysia. Menurut fail berkenaan, pemimpin-pemimpin Singapura memainkan peranan penting dalam mencadang dan memudahkan pemisahan tersebut berlaku, bersama-sama pemimpin Malaysia ketika itu.

Menurut Menteri Komunikasi dan Informasi Singapura, Dr Janil Puthucheary, proses nyahklasifikasi dokumen berkenaan mengambil sedikit masa disebabkan kerumitan maklumat yang ada.

“Proses mengubah status dokumen itu telah bermula sejak beberapa lama dahulu dan mengambil sedikit masa disebabkan kerumitan bahan, manakala subset bahan itu adalah sebahagian daripada pameran awam.

“Satu set dokumen Albatross mengenai pemisahan akan dikeluarkan dalam bentuk buku dan akan diterbitkan akhir tahun ini. Ini termasuk kertas kabinet dan nota Dr Goh mengenai perbualannya dengan pemimpin Malaysia,” katanya.

Sejak 2016, agensi kerajaan telah menyemak lebih 7,000 rekod kerajaan yang belum diubah status.

“Ini sebagai tindak balas kepada lebih 2,130 permintaan orang ramai. 83 peratus daripada rekod ini telah diluluskan untuk diakses. Secara keseluruhan, kira-kira 68,000 rekod fail telah diubah status dan boleh diakses oleh orang ramai,” katanya lagi.

Untuk makluman, Dr Goh merupakan Menteri Kewangan sebelum pemisahan Singapura daripada Malaysia.  Beliau bersara daripada dunia politik pada 1984 dan meninggal dunia pada Mei 2010, ketika berusia 91 tahun.

BACA: Identiti Empat Kru Hilang Bersama Bot Peronda Dikenal Pasti

Sumber: Today Online

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma