Siakap Keli
empat kru hilang bot
Gambar Bernama

Identiti Empat Kru Hilang Bersama Bot Peronda Dikenal Pasti

Identiti Empat Kru Hilang Bersama Bot Peronda Dikenal Pasti

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) — Identiti empat kru Jabatan Perikanan (DOF) Johor yang dilaporkan hilang di perairan Johor ketika dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, telah pun dikenal pasti.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata mereka adalah Fatimah Razak, 36; Zaharin Baharudin, 37; Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

Beliau berkata dalam kejadian kejadian 12.45 tengah hari, bot peronda perikanan PL 87 yang diketuai oleh Fatimah itu, dilaporkan telah berlepas dari Jeti Jabatan Laut Tanjung Pengelih ke Pangkalan Utama Perlindungan Sumber, Tampoi, untuk menyertai rondaan bersama Pasukan Gerakan Marin.

“Bagaimanapun pada jam lebih kurang 4 petang, bot berkenaan dilaporkan telah terputus hubungan dengan Jabatan Perikanan dan tidak dapat dihubungi serta dikesan sehingga kini,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Berikutan kejadian itu, Mohamad Sabu berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilakukan sejak semalam dan hari ini kawasan pencarian di laut diperluaskan sehingga 47 batu nautika, manakala pencarian di udara pula seluas 46 batu nautika dengan menggunakan helikopter AW-139, milik pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Maritim Malaysia (APMM).

Operasi SAR hari ini diketuai APMM dengan dibantu pasukan Gerakan Marin (PGM), Pusat Pemerintahan Operasi Polis Singapura (POCC) dan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) dari Indonesia.

“Saya sendiri juga telah hubungi dan bercakap dengan kesemua waris mangsa pagi tadi dan saya juga telah telah mengarahkan DOF untuk memberikan bantuan yang sewajarnya kepada semua waris mangsa,” katanya.

BACA JUGA: Bot Jabatan Perikanan, Empat Kru Dipercayai Hilang Dalam Perjalanan Ke Pangkalan Tampoi

Beliau berharap kesemua mangsa dapat ditemui segera dalam keadaan selamat dan mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan keselamatan mereka.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata berdasarkan maklumat yang diterima daripada pasukan Coast Guard Singapura, kali terakhir lokasi bot PL 87 itu dikesan di sekitar perairan Tuas, Singapura pada jam 3 petang.

“Bot ini dilihat menghala ke Tanjung Piai ke sebelah barat iaitu lebih kurang dalam lingkungan 5 batu nautika di perairan Tuas, keberangkalian bot ini mengalami kerosakan dan dihanyutkan ke perairan antarabangsa.

“Seperti yang kita sedia maklum pada petang semalam, cuaca di perairan Johor Selatan amat teruk dengan keadaan hujan lebat,” katanya.

Saiful Lizan berkata cuaca di perairan Selatan Johor ketika ini masih lagi hujan dengan kadar penglihatan yang terhad, dan keadaan itu sedikit sebanyak menyukarkan dan memberi kesan kepada operasi pencarian mangsa.

Semalam, sebuah bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, ketika dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di sini, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam.

Bot itu gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang.

Sumber: Bernama

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?