Siakap Keli
bot jabatan perikanan
Kredit: BERNAMA

Bot Jabatan Perikanan, Empat Kru Dipercayai Hilang Dalam Perjalanan Ke Pangkalan Tampoi

Bot Jabatan Perikanan, Empat Kru Dipercayai Hilang Dalam Perjalanan Ke Pangkalan Tampoi

JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) — Sebuah bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di sini, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi.

Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama.

“Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi.

“Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran.

Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor.

Hilang dalam insiden bot karam semalam, nelayan ditemukan lemas

Sebelum ini, media melaporkan seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya karam di perairan Bagan Lipas semalam ditemukan lemas.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata mayat lelaki itu ditemukan terapung pada kira-kira pukul 11.30 pagi oleh nelayan setempat.

“Kita telah terima laporan insiden bot karam pagi semalam pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut perairan Bagan Lipas dan telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat).

“Operasi yang bersambung hari ini berjaya menemukan mangsa dan Op Carilamat telah ditamatkan 12.40 tengah hari tadi,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana