Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Bekas Pegawai Kanan Tentera Didenda RM6,000, Pikat Isteri Orang
PETALING JAYA, 2 Mac (Bernama) — Seorang bekas pegawai kanan tentera didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memikat seorang wanita yang merupakan isteri orang, tujuh tahun lepas.
Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, 48, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mahkamah kemudian memerintahkan bapa dua anak itu menjalani hukuman penjara lima bulan sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat jenayah memikat seorang wanita berusia 44 tahun yang telah bersuami sehingga melakukan persetubuhan di sebuah rumah di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, di sini, awal tahun 2016.
Terdahulu, peguam Azman Zakaria yang mewakili tertuduh memohon hukuman berbentuk bon di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) atas alasan anak guamnya telah insaf.
“Sekiranya Seksyen 294 ini tidak digunakan saya mohon hukuman denda kerana ini merupakan kesalahan kali pertama anak guam saya serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Sejak kes ini, dia telah dinasihatkan untuk berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setelah berkhidmat selama 28 tahun. Anak guam saya telah berkahwin dan bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan pendapatan RM4,500 serta menjaga ibu bapanya,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md Kamal membantah permohonan hukuman di bawah Seksyen 294 dan memohon hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
“Sejak kes ini, pengadu mengalami pelbagai masalah termasuk institusi perkahwinan dan keluarganya terjejas. Pengadu juga mengalami kemurungan dan menerima rawatan mental serta kaunseling di klinik kesihatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA