Siakap Keli
Anak Kim Jong Un
Gambar: rfa

Penampilan Mewah Anak Kim Jong Un Buat Rakyat Korea Utara Tak Senang Duduk

Penampilan Mewah Anak Kim Jong Un Buat Rakyat Korea Utara Tak Senang Duduk

Rakyat Korea Utara meluahkan rasa marah secara rahsia selepas melihat kehidupan anak Kim Jong Un, yang hidup serba mewah sedangkan rakyat berdepan kesempitan hidup.

Memetik Radio Free Asia (RFA), Kim Ju Ae, bapanya dan beberapa orang VIP lain hadir dalam satu pelancaran pecah tanah sempena dedikasi jalan baharu di Pyongyang pada 25 Februari lalu.

Penampilan anak pemimpin Korea Utara yang diberi gelaran ‘anak kesayangan’ itu dilihat mewah dengan memakai kot panjang berkolar bulu dan berbutang emas.

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

Selain itu, ia turut dihiasi dengan kerongsang emas dan sarung tangan kulit yang berkualiti tinggi.

Pakar membuat spekulasi bahawa pengenalan Kim Ju Ae yang dipercayai berusia 9 tahun adalah sama sebahagian daripada bentuk propaganda.

Gambar: KCNA

Bagaimanapun, perkara itu telah menimbulkan kemarahan yang meluas secara rahsia dalam kalangan rakyat Korea Utara, kata sumber di negara itu.

Ia mengingatkan rakyat tentang perintah kebangsaan “Mereka yang rapat dengan kepimpinan negara didahulukan, dan orang lain hidup dalan keadaan serba kekurangan”.

Difahamkan, Korea Utara mengalami krisis kekurangan makanan yang kronik dan kemiskinan yang berleluasa.

Oleh itu, laporan mengenai peristiwa mengenai pemimpin Korea Utara dan anak perempuannya itu mengundang kekecewaan ramai orang.

“Saya marah kerana saya sangat susah,” kata seorang rakyat Korea Utara kepada RFA.

“Manakala Kim Ju Ae, yang kita semua tahu makan dan hidup dengan baik, sering muncul di TV dengan pakaian mewahnya,” katanya.

Lebih sihat berbanding kanak-kanak lain

Salah seorang rakyat Korea Utara memberitahu bahawa Kim Ju Ae dilihat lebih sihat berbanding kanak-kanak lain dengan penampilan cergas dan pipi yang bulat.

“Orang ramai berkata seperti, ‘Dia pasti makan dengan baik, mukanya sangat putih dan tembam seperti bulan,” kata sumber itu.

“Kebanyakan penduduk tidak dapat makan dengan betul sehingga tulang pipi mereka menonjol daripada sebelumnya,” katanya.

Menurut RFA, pakar Korea Selatan menganggarkan bahawa Korea Utara akan kekurangan 1 juta tan bijirin tahun ini, kira-kira 20 peratus daripada permintaan tahunannya.

Terdapat sumber mengatakan bahawa penampilan Jun Ae dengan pakaian sebegitu dianggap hipokrit.

Pihak berkuasa sering menghukum pelajar sekolah menengah kerana mengikuti budaya kapitalis, seperti memanjangkan rambut atau mengikut fesyen terkini.

Bakal pemimpin Korea Utara

Menurut RFA, ia adalah penampilan umum ketujuh Ju Ae sejak dia pertama kali muncul pada ujian peluru berpandu balistik pada November 2022.

Mereka mendakwa bahawa Kim Jong Un mungkin sedang mempersiapkan anaknya untuk menggantikannya.

Namun, Kwon Young Se, Menteri Penyatuan Korea Selatan memberitahu Radio CBS bahawa masih terlalu awal untuk menganggapnya sebagai waris.

“Walaupun Korea Utara mewujudkan struktur penggantian mulai sekarang, persoalan kekal sama ada seorang wanita akan dapat memimpin Korea Utara yang berpusatkan tentera,” katanya.

Kim Jong Un dipercayai mempunyai tiga anak dengan isterinya Ri Sol Ju, tetapi tidak dapat disahkan identiti kesemua anaknya.

Sumber: Radio Free Asia

Noorliyana Ishak