Siakap Keli
Anggota polis ditemukan maut
Kredit BERNAMA

Anggota Polis Ditemukan Maut Dengan Kesan Tembakan Ada Masalah Keluarga – KPN

Anggota Polis Ditemukan Maut Dengan Kesan Tembakan Ada Masalah Keluarga – KPN

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemukan maut dengan tiga kesan tembakan di belakang Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang, 19 Feb lepas dilaporkan mengalami masalah keluarga.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata beliau dimaklumkan, Ketua Polis Daerah yang berkaitan juga telah mengambil tindakan sewajarnya namun insiden berkenaan berlaku atas beberapa faktor yang mungkin tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata ia satu insiden yang sangat mendukacitakan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baca: Terkenal Sebagai Kampung Jungkook & Jimin BTS, Rupanya Ini Yang Buat Ramai Tak Senang Duduk Bila Sebut Busan

“Dari sudut siasatan, kami (PDRM) ambil maklum kematian anggota tersebut disahkan sebagai mati mengejut (SDR). Polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan bedah siasat termasuk sudah sediakan dokumen sepatutnya untuk dikemukakan bagi permohonan inkues untuk kenal pasti punca kejadian.

“Saya dimaklumkan beliau menghadapi masalah keluarga dan telah pun diambil tindakan oleh Ketua Polis Daerah yang berkaitan, namun oleh sebab-sebab yang tidak dapat dielak, kita pun tidak tahu mengapa anggota ini ambil tindakan sedemikian yang di luar jangkaan kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022 PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata api oleh warga PDRM, Acryl Sani berkata ia sudah lama termaktub dan sewajarnya dipatuhi.

“Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan. Bagaimanapun, ia tidak menghalang untuk kita mencari jalan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan, beliau berkata melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), PDRM mempunyai Unit Kaunseling yang akan meneliti dan memantau perkara itu menerusi laporan dan penyelia masing-masing.

Sebelum ini, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata siasatan mengenai kejadian berkenaan telah selesai dan tiada unsur jenayah ditemukan serta selari dengan dapatan pertama mereka iaitu bunuh diri sekali gus mengklasifikasikan kematian anggota berkenaan sebagai SDR.

Pada 19 Feb lepas, Sarjan Jana Milie, 51, ditemukan meninggal dunia di belakang Balai Polis Bayan Lepas dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.

Ditanya mengenai bila PDRM akan mula menggunakan kamera badan kepada anggotanya, beliau berkata ia akan disegerakan secepat mungkin bagi meningkatkan integriti warganya dalam perkhidmatan.

“Saya secara peribadi semenjak menjadi Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti lagi telah menggalakkan penggunaan kamera badan ini.

“Tujuannya adalah untuk mengelak pertikaian antara dua pihak kalau berlaku perkara di luar jangkaan dan kawalan. Begitu juga dengan pihak polis, saya berharap ia akan dapat dilaksanakan secepat mungkin setelah lama tertangguh,” katanya.

Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan penambahan 2,100 unit kamera badan kepada anggota serta petugas agensi penguatkuasaan termasuk PDRM.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga dilaporkan berkata pemerolehan unit kamera badan itu akan dimuktamadkan kementeriannya dalam masa terdekat dan pihaknya kini berada dalam peringkat akhir memuktamadkan kontraktor yang akan mengendalikan pemerolehan aset itu.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka