Bengang Isteri Lari Rumah Dengan Kekasih Baru, Lelaki Nekad Balas Dendam Kahwin Lain
Akibat berang dengan tindakan isterinya yang melarikan diri bersama lelaki lain, seorang lelaki nekad kahwin dengan isteri lelaki itu untuk membalas dendam, lapor ABP Live.
Difahamkan, kejadian pelik pasangan itu berlaku di daerah Khagarian Bihar di India.
Menurut ETV Bharat, wanita yang dikenali sebagai Ruby itu berkahwin dengan suaminya pada tahun 2009 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Namun, beberapa tahun kemudian, suami Ruby mendapat tahu bahawa isterinya menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.
Ruby dan kekasih barunya itu akhirnya mendirikan rumah tangga pada Februari 2023 dan mempunyai dua orang anak.
Selepas mendapat tahu tentang perkahwinan mereka, suaminya memfailkan aduan di balai polis tempatan terhadap lelaki itu kerana menculik isterinya.
Suami Ruby berkata, panchayat kampung diadakan untuk menyelesaikan perkara itu tetapi lelaki tersebut tidak bersetuju dan telah melarikan diri sejak itu, lapor akhbar tersebut.
Balas dendam kahwin lain
Selepas Ruby kahwin lari dengan kekasihnya, suaminya memutuskan untuk membalas dendam dengan mengahwini isteri lelaki tersebut yang juga bernama Ruby.
Memetik ABP Live, suaminya telah menghubungi isteri lelaki itu dan memulakan hubungan sulit serta mengikat tali pertunangan pada Februari 2023 di sebuah kuil tempatan di kampung itu.
Direstui oleh ahli keluarga
Hubungan suami Ruby itu bagaimanapun telah direstui oleh ahli keluarga pengantin perempuan dan tidak seperti perkahwinan antara Ruby dengan kekasihnya itu.
Berita mengenai perkahwinan aneh pasangan itu telah mendapat perhatian pengguna internet.
“Ini semua rancangan suami Ruby dari awal untuk berkahwin dengan isteri lelaki itu,” tulis seorang pengguna.
“Orang yang sudah berkahwin sedang kahwin lari antara satu sama lain dan saya di sini masih bujang,” kata seorang lagi pengguna.
“Anak-anak mereka akan jadi keliru!” tambah seorang lagi.
Terdahulu, Siakap Keli melaporkan seorang lelaki mendakwa isterinya melarikan diri sebanyak 25 kali dengan lelaki berbeza namun masih menerimanya kembali.
Menurut portal DNA India, pasangan yang tinggal di Assam berkenaan telah mendirikan rumah tangga sekitar 10 tahun lalu.
Lelaki tersebut berkata isterinya lari dari rumah dan meninggalkan anak mereka yang berusia tiga bulan di rumah jiran ketika dia baru pulang daripada kerja.
Sumber: ABP Live